suria

Malindo Air Lantik Travel Point Sebagai Ejen Jualan Di Oman

KUALA LUMPUR: Malindo Air melantik Travel Point LLC, syarikat pelancongan dan hospitaliti terbesar Oman, sebagai ejen jualan amnya di Oman, berkuat kuasa serta merta.

Dalam kenyataan hari ini, syarikat penerbangan itu berkata pelantikan tersebut menunjukkan komitmen mereka untuk memperluaskan kedudukan Malindo Air dalam jaringan antarabangsa dengan membolehkan akses mudah kepada produk dan perkhidmatannya di pasaran Oman.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malindo Air, Chandran Rama Muthy, berkata syarikat menyasar untuk mewujudkan rangkaian lebih kukuh bagi menghubungkan penumpangnya kepada lebih banyak destinasi.

"Kerjasama kami dengan Oman Air akan menawarkan perjalanan rekreasi, perniagaan, pelancongan perubatan dan lebih banyak lagi untuk pasaran.

"Kami menyasar untuk membangunkan kedudukan pasaran yang lebih teguh dan menjadi syarikat penerbangan pilihan melalui sokongan Travel Point, kami amat mengalu-alukan lebih ramai penumpang dari Oman," katanya.

Mengenai kerjasama itu, CEO Travel Point, Sunil Prabhakar, berkata dengan perkhidmatan premium dan tambang yang menarik, Malindo Air telah mencatat pertumbuhan pesat dan perluasan rangkaian laluan yang ketara dalam tempoh singkat.

"Kami gembira untuk bekerjasama dengan Malindo Air. Kami akan berusaha dalam memanfaatkan perkhidmatan ini serta menawarkan harga terbaik kepada pengembara di Oman untuk destinasi terkini Malindo Air," katanya.

Malindo Air, pemenang anugerah Syarikat Penerbangan Rantau Asia Pasifik Terbaik 2016 oleh Pusat Penerbangan Rantau Asia Pasifik (CAPA), menawarkan elaun bagasi 30 kilogram untuk kelas ekonomi dan 40 kilogram bagi kelas perniagaan selain hiburan dan hidangan makanan dalam penerbangan serta pilihan wifi.

Malindo Air kini mempunyai 800 penerbangan setiap minggu kepada lebih 40 destinasi.-- Bernama

Malindo Air, Travel Point

Artikel Lain