suria

CIMB Jangka Momentum Kukuh Berterusan Bagi 2017

KUALA LUMPUR: CIMB Group Holdings Bhd menjangka momentum kukuh yang dicatatkan pada suku keempat 2016 akan berterusan pada tahun ini, dengan satu lagi pencapaian perolehan, kata Ketua Eksekutif Kumpulan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz.

"Kami yakin bahawa prospek bagi 2017 akan lebih baik berdasarkan langkah-langkah yang kami ambil," katanya pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan kumpulan itu di sini, Jumaat.

Keuntungan sebelum cukai kumpulan itu meningkat kepada RM1.21 bilion bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2016 berbanding RM1.13 bilion dalam tempoh sama pada 2015, manakala perolehan naik kepada RM4.31 bilion berbanding RM4.04 bilion, sebelum ini.

Keuntungan sebelum cukai meningkat kepada RM4.88 bilion pada 2016 berbanding RM3.91 bilion pada 2015 manakala perolehan melonjak kepada RM16.07 bilion berbanding RM15.4 bilion, sebelum ini.

Tengku Zafrul berkata kumpulan menyasarkan untuk mengurangkan paras peruntukan kepada antara 60 dan 65 mata asas (bps) pada tahun ini berbanding 74 bps pada 2016.

Sementara itu, mengenai sentimen sektor korporat, Pengerusi Datuk Seri Nazir Razak berkata minat untuk menjalankan urus niaga di Malaysia pulih, sebahagiannya didorong oleh perubahan kepimpinan di beberapa organisasi seperti Permodalan Nasional Bhd.

"Kami mendapati perniagaan bertolak ansur berkaitan dengan mengurangkan kos dan mewujudkan lebih banyak perolehan (disokong oleh sentimen pasaran yang meningkat).

"Ternyata terdapat minat untuk mendekati bank-bank pelaburan dari pasaran," katanya.-- Bernama


CIMB

Artikel Lain