Che Ros Pengusaha Terkenal Minyak Kelapa Dara Di Bagan Datuk

Diterbitkan: Rabu, 12 April 2017 5:56 PM

(Ubah saiz teks)

BAGAN DATUK: Sejak ratusan tahun, penduduk Bagan Datuk, Perak menjadikan tanaman kelapa sebagai punca rezeki berikutan tanahnya sesuai untuk tanaman itu.

Sehingga kini ia masih terkenal sebagai kawasan penanaman kelapa dan antara pengeluar utama kelapa bagi pasaran negara.

Kelapa adalah tanaman yang mempunyai nilai ekonomi tinggi kerana setiap bahagiannya ada kegunaan tertentu.

Lantaran itu, selain memasarkan hasil buah kelapa ke pasaran, terdapat juga individu yang mengorak langkah mempelbagaikan industri hiliran berasaskan kelapa hingga ada yang mampu menjadi usahawan berjaya.

Antara individu itu ialah Che Ros Osman, 78, dari Kampung Sungai Nipah Darat, Rungkup (Daerah Hilir Perak).

Beliau berjaya mengkomersialkan minyak kelapa dara sejak tahun 2006 dari hasil kebun kelapa miliknya seluas 19.4 hektar di Bagan Datuk.

"Masa itu belum ada orang menjual minyak kelapa dara, malah harga buah kelapa juga rendah. Bekalan buah kelapa bagaimanapun melambak. Itu yang menyebabkan saya menjalankan perusahaan ini," kata Che Ros kepada Bernama dalam wawancara baharu-baharu ini.

POTENSI MINYAK DARA

Mengetahui potensi minyak kelapa dara dan memandangkan banyak bekalan buah kelapa, Che Ros mengambil inisiatif untuk mencuba kaedah memproses sendiri minyak kelapa dara sebaik sahaja pulang dari satu lawatan ke Indonesia pada 2005.

"Mengikuti rombongan kerajaan bersama ahli Peladang pada Ogos 2005 adalah titik penting buat diri saya untuk bersemangat menjadi usahawan minyak kelapa dara.

"Sekembalinya membuat lawatan ke pusat pengolahan kelapa di Jogjakarta, saya terus mengambil keputusan mencuba memproses dan menjual minyak kelapa dara dengan bantuan beberapa agensi," katanya yang juga pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (PPK) Bagan Datuk.

Biarpun warga emas itu telah berusia lebih tiga suku abad, namun segala proses penyediaan dilakukan sendiri di sebuah bangsal berhampiran rumahnya.

KELAPA YANG SESUAI

Bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata, antara kelapa yang sesuai digunakan untuk penghasilan minyak kelapa dara keluarannya yang menggunakan nama 'Che Ros Minyak Kelapa Dara' adalah daripada jenis kelapa kampung, mawar, pandan serta matag.

Katanya, bagi menghasilkan minyak kelapa dara yang berkualiti, pengusaha harus menggunakan kelapa yang betul-betul masak atau telah gugur bagi memastikan hasilnya mencapai piawaian yang dikehendaki.

Mengakui masih menggunakan kaedah secara tradisional, jelas Che Ros, secara puratanya beliau memerlukan sekurang-kurangnya 100 biji kelapa sehari bagi menghasilkan 23 hingga 24 botol minyak kelapa dara, bergantung kepada permintaan.

"Saya menggunakan kelapa daripada kebun sendiri dan sudah pasti kualiti yang dipilih untuk membuat minyak kelapa dara ini adalah yang terbaik.

"Sebab itulah juga saya boleh menjual minyak ini pada harga yang berpatutan kepada pengguna di luar pada harga RM15 dengan isipadu botol 100 milimeter berbanding peniaga lain yang boleh mencecah puluhan ringgit," katanya.

Santan segar yang sudah diperah dan ditambah air dengan kadar nisbah 1:1 disimpan dan 'diperam' dalam bekas tong plastik selama 15 hingga 24 jam pada suhu bilik bagi penghasilan lapisan minyak kelapa dara.

"Mungkin sesetengah pihak mengatakan mereka mampu untuk menghasilkan minyak kelapa dara dalam tempoh enam ke lapan jam tetapi saya masih mengekalkan kaedah lama menghasilkannya yang adakalanya mengambil masa berhari-hari," katanya yang sangat menitikberatkan akan kualiti produknya.

Lapisan minyak yang terhasil kemudiannya diasingkan dan ditapis menggunakan kertas turas atau kapas sebanyak empat atau lima peringkat bagi memastikan ia benar-benar jernih selain bebas daripada sebarang bau tengik.

PENYAMBUNG LEGASI

Tambahnya, walaupun usianya semakin lanjut, beliau masih gagah meneruskan perniagaan berkenaan kerana minatnya terhadap bidang keusahawanan tidak pernah luntur.

"Saya sekarang sedang mendidik anak bongsu saya Muhammad Isa, 39, untuk mengambil alih perniagaan berasaskan kelapa ini jika saya sudah tiada.

"Ini untuk memastikan Bagan Datuk kekal terkenal sebagai pengeluar minyak kelapa dara dan daerah pengeluar kelapa di Perak," katanya.

Mengenai bimbingan, pasaran dan promosi, agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian, PPK Bagan Datuk dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) banyak membantu beliau selain turut melantik ejen jualan bagi memasarkan produknya ke serata negeri.

Dalam tempoh sebulan, jelas Che Ros, beliau mampu menjual 900 hingga 1,000 botol minyak kelapa dara. Beliau juga menerima permintaan dari luar Perak termasuk Selangor.

Mereka yang berminat untuk mendapatkan minyak kelapa dara keluaran Che Ros boleh menghubunginya di 019-5117355.-- Bernama


Tags / Kata Kunci: Che Ros , Minyak Kelapa Dara , Bagan Datuk

iklan

Video

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Kolumnis

iklan

Iklan