suria

Sektor Pembinaan Akan Tumbuh 8 Peratus Tahun ini - CIDB

Ahmad Asri

KUALA LUMPUR: Sektor pembinaan dijangka tumbuh lapan peratus kepada RM170 bilion tahun ini, dirangsang oleh pelbagai projek infrastruktur mega di negara ini, kata Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

Ketua Eksekutif Datuk Ahmad Asri Abdul Hamid berkata, projek seperti Pembangunan Bersepadu Kilang Penapisan Minyak dan Petrokimia di Johor, Transit Aliran Massa Dua di Lembah Klang dan Lebuhraya Pan Borneo menyambungkan Sabah dan Sarawak, akan terus memacu permintaan dalam sektor berkenaan.

"Pertumbuhan pembinaan adalah 8.2 peratus atau RM140 bilion pada 2015 dan 7.4 peratus atau RM166 bilion tahun lalu," katanya pada sidang akhbar selepas Sidang Kemuncak Pembinaan Malaysia Kelapan, yang dirasmikan Menteri Kerjaraya, Datuk Seri Fadilah Yusof, di sini, Selasa.

Ahmad Asri berkata, industri pembinaan mencatat pertumbuhan purata yang tinggi iaitu 11 peratus semasa Rancangan Malaysia Ke-10 dan mengatasi prestasi sektor ekonomi lain di negara ini.

Beliau berkata, dari segi volum pembinaan, nilainya meningkat daripada  RM140 bilion melibatkan 7,455 projek pada 2015 kepada RM166.4 bilion untuk 6,305 projek pada 2016.

Hanya 29.1 peratus atau RM48.5 juta daripada projek pada 2016 adalah oleh sektor awam manakala 70.9 peratus atau RM117.9 bilion daripada sektor swasta.

"Pertumbuhan industri pembinaan tahun lepas dipacu oleh projek infrastruktur yang menyumbang 49.7 peratus atau RM82.7 bilion daripada jumlah itu.

"Penyumbang kedua terbesar ialah projek kediaman yang menyumbang 23 peratus (RM38.3 bilion), diikuti pembinaan bukan kediaman pada 22.5 peratus atau RM37.4 bilion," katanya.

Sementara itu, Fadilah berkata, kerajaan merancang untuk memperkenal kod amalan standard Malaysia, yang mempunyai garis panduan untuk kemudahan tapak pembinaan pekerja sementara.

Ia dijangka dimasukkan dalam akta baharu yang akan dibentangkan oleh Kementerian Sumber Manusia tahun depan.

Menurutnya, standard ini seiring dengan amalan antarabangsa, sudah pun dipraktikkan oleh syarikat pembinaan besar di sini dan kerajaan akan menumpukan kepada peserta pembinaan bersaiz kecil dan sederhana.

"Kita akan terus berbincang dengan peserta industri bagi memastikan ia tidak akan menjadi satu beban.

"Antara cadangannya ialah untuk syarikat pembinaan bersaiz kecil dan sederhana mempunyai kemudahan yang dikongsi pekerja bagi menjimatkan kos," tambah beliau.

Artikel Lain