suria

Anak Syarikat AZRB Memeterai Kontrak Dengan Carigali HESS:

KUALA LUMPUR: Anak syarikat Ahmad Zaki Resources Bhd (AZRB), TB Supply Base Sdn Bhd (TBSB), telah memeterai kontrak perkhidmatan selama dua tahun dengan Carigali Hess Operating Company Sdn Bhd (Carigali Hess) di pangkalan bekalan Tok Bali, Kelantan.

Kontrak sehingga Februari 2019, membabitkan penyediaan awak-awak bot dan perkhidmatan sokongan lain di pangkalan berkenaan.

"Kami mengalu-alukan pemeteraian kontrak perkhidmatan dengan Carigali Hess, yang merupakan susulan kepada pengambilan kepentingan ke atas pangkalan itu yang dibuat oleh kami baru-baru ini," kata Pengarah Urusan Kumpulan AZRB, Datuk Seri Wan Zakariah Wan Muda dalam satu kenyataan, Selasa.

Katanya, kumpulan itu dijangkakan akan menyaksikan sumbangan yang signifikan ke atas prestasi kewangannya pada masa depan, ia juga akan berusaha untuk mendapatkan lebih banyak kontrak perkongsian pengeluaran (PSC).

AZRB juga merancang untuk meningkatkan kemudahan asas pangkalan bekalan  Bali Tok melalui perbelanjaan modal sebanyak RM26.8 juta.

Ini merangkumi penambahbaikan ke atas infrastruktur, seperti peralatan mesin, gudang dan tanah bagi limbungan kapal untuk memberi perkhidmatan yang lebih kepada kepada pengendali PSC sedia ada serta yang berpotensi.

AZRB pada 16 Jan 2017 telah menyelesaikan pengambilalihan kepentingan 51 peratus dalam Matrix Reservoir Sdn Bhd, yang merupakan syarikat pegangan TBSB,  operator pangkalan bekalan Tok Bali.

Selain Carigali Hess sebagai pelanggan baharu, HESS Exploration  and  Production Malaysia BV telah menjadi pengguna pangkalan itu sejak dari September 2015.

Pangkalan bekalan Tok Bali merupakan tapak perkhidmatan bekalan minyak dan gas yang menyediakan keperluan seperti bahan api, air, pengendalian mekanikal serta peralatan, gudang, kastam, imigresen dan kuarantin termasuk ruang pejabat.

Artikel Lain