suria

MoU Dengan China Dalam Bidang Sumber Air Tepat Pada Masanya - Wan Junaidi

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar (kanan) bertukar MoU dengan Menteri Sumber Air Kerajaan China Chen Lei ketika Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Antara Kerajaan Malaysia Dengan Kerajaan China Mengenai Kerjasama Dalam Bidang Sumber Air, Isnin.

KUALA LUMPUR: Memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan Malaysia dan China dalam bidang sumber air yang ditandatangani hari ini dilakukan tepat pada masanya, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata perjanjian itu adalah pencapaian terbaru dalam kerjasama antara Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan Kementerian Sumber Air China yang sebelum ini hanya wujud melalui sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu pada tahun 1968 iaitu "Typhoon Committee".

"Perjanjian persefahaman itu kini menjadikan kerjasama kedua-dua negara dalam bidang sumber air lebih formal dan ia adalah peluang terbaik untuk Malaysia meningkatkan kepakaran sedia ada daripada China.

"Antara teknologi dan kepakaran yang boleh dikongsi oleh kedua-dua negara melalui MoU tersebut adalah pengurusan bersepadu sumber air, pemuliharaan serta perlindungan sumber air, adaptasi kepada perubahan iklim, kawalan banjir dan pengurusan kemarau," katanya pada sidang akhbar selepas menandatangani MoU itu dengan Menteri Sumber Air China, Chen Lei.

Menurutnya, perkongsian kepakaran dan teknologi itu akan memastikan pembangunan sosio ekonomi yang mapan terutamanya dalam pengurusan serta penggunaan sumber air yang lestari bagi menghadapi kesan perubahan iklim.

"MoU ini turut menyediakan platform bagi kerjasama teknikal serta penyelidikan antara agensi pengurusan dan institut penyelidikan sumber air di kedua-dua negara," jelasnya.

Wan Junaidi berkata, Malaysia sebenarnya bukan berhadapan dengan masalah kekurangan air tetapi hanya infrastruktur pengagihan air yang masih belum sempurna.

"Pengurusan air bersepadu perlu diwujudkan di seluruh negara, daripada pentadbiran di peringkat pusat hingga ke peringkat daerah bagi memastikan agihan air sampai kepada semua pihak," katanya.

Bagaimanapun jelas Wan Junaidi, kekangan kewangan antara halangan yang didepani oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam usaha mewujudkan pengurusan air bersepadu di negara ini.

Perkara itu berbeza dengan China yang mempunyai sumber kewangan yang besar untuk pengurusan air, katanya yang sebelum itu menghadiri mesyuarat bersama Chen Lei.

"China mempunyai bajet yang sangat besar untuk pengurusan air. Pembiayaan yang diberikan untuk projek air mereka adalah pembiayaan tanpa faedah.

"Oleh itu, kita perlu melihat semula bajet yang diperuntukkan agar kita boleh buat agihan air kepada semua pihak dan membangunkan pengurusan air bersepadu," katanya.

Wan Junaidi turut mencadangkan agar pihak bank mewujudkan dana khas atau program pinjaman khas untuk mana-mana syarikat prasarana yang berminat untuk membangunkan infrastruktur pengurusan air di Malaysia.

Beliau menarik perhatian bahawa kerajaan sebelum ini telah meluluskan bajet kira-kira RM1.8 bilion kepada kementeriannya dan 80 peratus daripada jumlah itu diperuntukkan kepada JPS.

"Jadi anda boleh lihat besarnya bajet yang diperlukan untuk menambah baik pengurusan sumber air kita," tambahnya.

Majlis pemeteraian MoU dengan China itu diadakan bersempena lawatan kerja empat hari Chen Lei ke Malaysia yang bermula Sabtu lepas.

Menteri Sumber Air China itu turut melawat Pusat Kawalan Terowong SMART, diiringi Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Ir Dr Hamim Samuri, bagi melihat operasi serta sistem kawalan terowong tersebut.-- Bernama


Wan Junaidi, China

Artikel Berikut

Artikel Lain