Cathay Pacific Terbang Lebih Tinggi

Diterbitkan: Jumaat, 7 April 2017 4:00 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Cathay Pacific, syarikat penerbangan yang berpangkalan di Hong Kong, merancang untuk 'terbang lebih tinggi' selepas mengharungi tahun yang sukar dengan mengembangkan rangkaian serta menawarkan kadar tambang yang lebih kompetitif.

Pengurus Negara bagi Malaysia dan Brunei, Anna Choi berkata, walaupun terdapat persaingan sengit, Cathay Pacific mencatat prestasi baik di Malaysia dengan muatan penumpang melepasi 85 peratus ketika musim puncak.

Sebagai syarikat penerbangan terbesar di Asia dan dikenali sebagai syarikat penerbangan ulung dengan penarafan lima bintang, ia melaporkan kerugian pertamanya sejak 2008 bagi keputusan kewangan pada 2016, berikutan persaingan sengit daripada syarikat penerbangan China.

"Kumpulan Cathay Pacific kekal komited kepada pasaran Malaysia dan telah memberi perkhidmatan kepada negara ini selama 60 tahun sejak penerbangan pertama kami pada Ogos 1957," katanya kepada Bernama.

Choi berkata, Cathay Pacific kini merancang pengembangan bermusim  penerbangan Pulau Pinang-Hong Kong daripada 10 kali seminggu kepada 12 kali dengan tambahan dua lagi penerbangan seminggu mulai Julai hingga Oktober tahun ini.

"Kami akan mengkaji permintaan pasaran dan menjalankan kajian kemungkinan untuk mengetahui sama ada wujud keperluan untuk pertambahan bagi penerbangan Pulai Pinang-Hong Kong selepas Oktober," katanya.

Menurut Choi, Cathay Dragon, anggota Kumpulan Cathay Pacific, mengendalikan 43 penerbangan seminggu antara Malaysia dan Hong Kong, dengan Hong Kong menjadi hab dan pusat transit ke destinasi lain di seluruh dunia.

Cathay Dragon memulakan penerbangan pertamanya ke Kuala Lumpur pada 1 Mac tahun ini, kata Choi.

"Syarikat itu terbang ke 20 bandar raya di China, Asia Tenggara serta negara lain, termasuk Taiwan.

"Di Malaysia, kami mengendalikan 28 penerbangan seminggu dari Kuala Lumpur, 10 penerbangan seminggu dari Pulau Pinang dan lima penerbangan seminggu dari Kota Kinabalu," tambah beliau.

Choi berkata, penumpang dari Malaysia, yang terbang ke destinasi di luar Hong Kong, akan terbang dengan Cathay Dragon ke Lapangan Terbang Hong Kong, di mana mereka boleh menggunakan penerbangan Cathay Pacific atau Cathay Dragon ke destinasi mereka.

Cathay Pacific, sebagai syarikat penerbangan utama berpangkalan di Hong Kong, katanya, akan terus mengembangkan rangkaiannya dengan Hong Kong sebagai pusat kesambungan ke semua destinasi antarabangsa lain.

"Pada 2016, kami melancarkan destinasi baharu seperti ke Madrid dan Gatwick.

Tahun ini kami akan terus menambah penerbangan ke Boston, Vancouver, Toronto, Gatwick, San Francisco, Manchester dan Paris, dengan menawarkan lebih banyak pilihan dan fleksibiliti kepada pelanggan apabila mereka terbang dengan kami," katanya.

Menurutnya, syarikat penerbangan itu menawarkan promosi ke Hong Kong, Taiwan, China dan Amerika Utara bulan ini untuk pasaran Malaysia.

Cathay Pacific yakin terhadap pasaran Malaysia dan global dan ia kini memulakan program transformasi tiga tahun bagi meningkatkan penguasaan pasran bagi menghadapi persaingan sengit daripada syarikat penerbangan sedang muncul, katanya.

"Kami juga akan terus mempromosi Hong Hong sebagai destinasi popular kepada rakyat Malaysia dengan tarikan utama seperti masakan Hong Kong, taman tema dan beli-belah.

"Perjalanan dalam bandar raya itu adalah mudah kerana ia disokong sistem pengangkutan awam yang baik," katanya.

Choi berkata, sebagai hab kewangan dan pintu masuk ke China, Hong Kong juga menarik aliran masuk pengembara perniagaan yang mantap.

Menurutnya, Cathay Pacific bersedia menghadapi pertumbuhan kukuh dengan kapasiti pesawatnya yang baharu.

"Penerbangan kami yang muda, mesra alam dan cekap bahan api membolehkan kami bersaing dalam tempoh yang mencabar," katanya.

Penerimaan 12 pesawat A350-900 baru-baru ini dan 10 lagi A350-900 pada akhir tahun akan membantu membuka pasaran baharu dan meningkatkan frekuensi, katanya.

"Sebanyak 26 pesawat A350-1000 yang akan menyertai kami antara 2018 dan 2020 akan memberi lebih banyak kapasiti kepada kami," katanya.

Cathay Pacific, katanya, sedang mengkaji permintaan pasaran untuk perkhidmatan kargo di Malaysia.

"Kini kami mengendalikan pesawat kargo tiga kali seminggu dari Pulau Pinang ke Hong Kong yang membawa pelbagai produk seperti komoditi dan barangan cepat rosak," katanya.

Menurutnya, Cathay Pacific juga meneroka peluang untuk berkongsi kod dan bidang kerjasama dengan syarikat penerbangan lain bagi menawar lebih banyak pilihan kepada penumpang.

"Sebagai anggota pengasas perikatan satu dunia, kami bekerjaama dengan syarikat penerbangan lain seperti Malaysia Airlines, British Airways, Japan Airlines, Qantas, American Airlines dan Qatar Airways, kata beliau.

Syarikat penerbangan dalam perikatan satu dunia, katanya, berkhidmat di lebih 1,000 lapangan terbang di lebih 150 negara..

Choi berkata, perjanjian kerjasama baharu Cathay Pacific dan Kumpulan Lufthansa akan menyaksikan syarikat penerbangan itu berkongsi kod untuk penerbangan yang dikendalikan Lufhtansa, Swiss dan Austrian Airlines ke bebeapa destinasi ke benua Eropah, dengan itu menawarkan lebih banyak destinasi pilihan kepada pengembara.

Cathay Pacific, menurut Choi, kini menawarkan perkhidmatan penumpang dan kargo berjadual ke hampir 200 destinasi di Asia, Amerika Utara, Australia, Eropah dan Afrika.

Cathay Dragon, anggota Kumpulan Cathay Pacific, katanya, kini memberi perkhidmatan ke 53 destinasi di Asia, termasuk 23 bandar raya di tanah besar China.- Bernama

Tags / Kata Kunci: Cathay Pacific

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan