Pharmaniaga Jangka Pertumbuhan Antara Tiga Hingga Lima Tahun

Diterbitkan: Khamis, 6 April 2017 4:38 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pharmaniaga Bhd menjangka pertumbuhan perniagaan yang menggalakkan dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, walaupun landskap ekonomi global yang mencabar, dipacu oleh penyelidikan dan pembangunan produk yang agresif serta pelancaran produk baharu.

"Pada 2017, kami menjangka hanya sedikit pertumbuhan. Bagaimanapun, mulai 2018, kami yakin dapat mencapai lebih tinggi dengan lebih 250 produk dilancarkan oleh kilang domestik dan antarabangsa kami," kata Pengarah Urusan, Datuk Farshila Emran kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan syarikat farmaseutikal itu di sini, Khamis.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2016, kumpulan mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM72 juta daripada perolehan sebanyak RM2.2 bilion.

Farshila berkata Pharmaniaga merancang untuk meningkatkan sumbangan perniagaan bukan konsesinya kepada perolehan pada akhir 2017 kepada 51 peratus berbanding 49 peratus pada masa ini.

Syarikat itu adalah pemegang konsesi tunggal untuk pembelian, penyimpanan, pembekalan dan pengedaran produk perubatan dan ubat-ubatan yang diluluskan  kepada hospital kerajaan dan klinik serta pejabat daerah di seluruh negara.

Bagi dua kilang di Indonesia, Farshila berkata satu daripadanya digunakan untuk logistik dan pengedaran, manakala sebuah lagi untuk pengeluaran.

Syarikat merancang untuk meningkatkan pengeluaran produk melalui kaunter dan  diprekripsi melalui kilang pengeluaran, PT Errita Pharma.

"Pada masa ini, terdapat 50 produk dan kami merancang untuk menambah 12 lagi produk pada akhir tahun," kata Farshila.

Beliau berkata Pharmaniaga menyasarkan pasaran baharu, termasuk Kesatuan Eropah (EU), berikutan ia mempunyai kilang yang diperakui EU di Puchong.

"Kami berjaya mendapat kelulusan pasaran di Portugal bagi satu daripada produk kami. Ia menjadi produk Pharmaniaga yang pertama berikutan ia sedia untuk dijual di pasaran Eropah," katanya. -- Bernama



Tags / Kata Kunci: Pharmaniaga

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan