suria

Ahmad Fadzil Dilantik Ketua Ekskutif Kumpulan SIRIM

KUALA LUMPUR: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi hari ini mengumumkan pelantikan Prof Ahmad Fadzil Mohamad Hani sebagai Presiden/Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa 1 April.

Dalam satu kenyataan hari ini, Menteri berkenaan, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, berkata Ahmad Fadzil menggantikan Datuk Zainal Abidin Mohd Yusof yang telah tamat tempoh perkhidmatan.

Beliau berkata pelantikan dibuat oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak, melalui satu surat pelantikan, yang turut menyatakan keyakinan bahawa Ahmad Fadzil akan dapat memikul tanggungjawab dan menerajui SIRIM Bhd ke tahap yang lebih cemerlang.

"Gabungan kepakaran dan pengalaman luas Ahmad Fadzil serta Pengerusi SIRIM Tan Sri Ahmad Tajuddin Ali, SIRIM akan terus menerajui usaha penyelidikan dan teknologi perindustrian negara.

"Ini sekali gus akan mempersiap industri tempatan untuk menghadapi cabaran untuk melonjakkan negara ke arah 'ekonomi baharu yang dipacu teknologi' berdasarkan idea-idea progresif Industri 4.0," kata Madius.

Ahmad Fadzil sebelum ini berkhidmat sebagai Timbalan Naib Canselor, Penyelidikan dan Inovasi, Universiti Teknologi Petronas.

Beliau juga ialah ahli lembaga pengarah Vitrox Corporation Bhd dan Prince Court Medical Centre. - BERNAMA

SIRIM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain