suria

Bank Rakyat Lantik Presiden, Pengarah Urusan Baharu

GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR: Bank Rakyat telah melantik Datuk Zulkiflee Abbas Abdul Hamid sebagai Presiden dan Pengarah Urusan berkuat kuasa Isnin bagi menggantikan Datuk Mustafha Abd Razak.

"Beri saya peluang untuk meneroka bank ini, ketika itu barulah saya boleh memberikan anda pelan tindakan yang lebih komprehensif," kata Zulkiflee pada sidang akhbar mengenai pelantikan tersebut di sini.

Pengerusi bank berkenaan, Tan Sri Shukry Mohd Salleh turut hadir.

Sebelum pelantikan itu, Zulkiflee berkhidmat di Lembaga Pengarah Maybank Islamic dan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Affin Bank daripada 2009 hingga 2015.

Beliau juga telah berkhidmat dalam beberapa jawatankuasa industri, termasuk ahli majlis Persatuan Bank-Bank Malaysia serta Pengerusi Jawatankuasa Audit  Sistem Pembayaran Elektronik Malaysia.

Sementara itu, mengenai kerjasama bank itu dengan Bank Rakyat Indonesia (BRI), Ketua Pegawai Perbankan Runcit, Mohd Shahril Isa berharap, ia akan mampu menguasai pasaran perkhidmatan penghantaran wang beratus ribu pekerja Indonesia di sini.

"Kami telah menandatangani memorandum persefahaman dengan BRI bagi mengembangkan perkhidmatan penghantaran wang kami di sana, kemungkinan pada suku kedua atau ketiga dengan menggunakan BRI sebagai platform," katanya menurut laporan Bernama.

Kerjasama itu akan membolehkan kedua-dua bank terbabit menyediakan perkhidmatan kiriman wang kepada lebih 700,000 rakyat Indonesia di Malaysia.

BRI ditubuhkan pada 1895 dan mempunyai 50 juta pelanggan runcit dengan lebih  10,612 cawangan perniagaan dan perkhidmatan di seluruh negara tersebut, manakala  Bank Rakyat adalah bank koperasi Islam terbesar di Malaysia dengan 147 cawangan.

Bank Rakyat

Artikel Lain