suria

Najib Pelawa Pelabur India Guna Malaysia Sebagai Gerbang Perniagaan

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan perbincangan meja bulat dengan pemain industri India Selatan sempena lawatan dua hari ke Chennai, yang merupakan sebahagian daripada program lawatan rasmi enam hari ke India, Jumaat.

CENNAI: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempelawa lebih ramai pelabur India memanfaatkan kedudukan strategik Malaysia untuk mengukuhkan kehadiran mereka di rantau Asean dan melepasinya.

Beliau berkata penyelesaian Rundingan Perkongsian Ekonomi Komprehensif  Serantau (RCEP) dalam tempoh terdekat akan menjadikan Malaysia lokasi ideal untuk mereka, sama ada mewujudkan pertubuhan serantau atau menggunakan negara ini sebagai gerbang untuk menembusi pasaran Asean, ekonomi ketujuh terbesar di dunia.

Bercakap pada rundingan meja bulat interaksi bersama Dewan Perniagaan dan Industri India Selatan di sini, Perdana Menteri berkata berdasarkan ekonomi Malaysia yang pelbagai, asas pembuatan yang kukuh, infrastruktur pembangunan dan perhubungan yang maju yang memenuhi standard antarabangsa, wujud potensi besar untuk meningkatkan lagi kerjasama antara kedua-dua negara.

"Negara kami boleh menjadi pintu masuk anda untuk ke Asean dan melepasinya.

Saya mengajak anda semua untuk memanfaatkan pelbagai peluang yang ditawarkan oleh Malaysia," kata Najib yang tiba di ibu negeri Tamil Nadu ini pada Khamis bagi memulakan lawatan rasmi enam hari ke India.

Perbincangan pada Jumaat dianjurkan oleh Persatuan Dewan Perniagaan dan Industri India Malaysia (MAICCI). Turut hadir Setiausaha Agung MAICCI Datuk Dr AT Kumararajah, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

RCEP yang turut meliputi China, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand, menawarkan potensi besar bagi pertumbuhan perdagangan dan pelaburan menerusi pengurangan halangan, akses pasaran yang lebih baik dan integrasi ekonomi yang lebih mendalam.

Perjanjian perdagangan strategik itu juga akan meningkatkan daya saing ekonomi dan hubungan perniagaan secara menyeluruh di rantau ini, kata Najib yang juga Menteri Kewangan.

Najib menekankan bahawa Malaysia telah memperkenalkan skim Hab Asas.

Ini bertujuan menjadikan Malaysia lebih menarik kepada syarikat global untuk memperuntukkan sumber mereka, dan berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan lokasi berdaya saing negara dalam Asean dan rantau Asia Pasifik.

Najib berkata Malaysia juga terus mengeksploitasi potensi besar e-dagang bagi meningkatkan penumpuan dalam rantaian bekalan global, dengan merujuk kepada Zon Bebas Digital pertama dunia yang baru dilancar.

Zon itu dilancarkan bersama oleh Najib dan Jack Ma, pengasas dan pengerusi eksekutif Alibaba Group, minggu lepas.

"Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada pelan tindakan e-dagang negara yang menawarkan persekitaran kondusif bagi syarikat digital untuk menjalankan perniagaan mereka.

"Ini menyediakan peluang yang besar bagi pelabur, dan kami menjemput anda untuk memanfaatkan peluang dalam bidang pertumbuhan baru ini di Malaysia," kata Najib.

Beliau juga berkata hubungan ekonomi dan perdagangan antara Malaysia dan India semakin berkembang dan meningkat lebih empat kali ganda sejak 2003 hingga 2015, dirangsang oleh kedudukan politik dan pertukaran perniagaan yang sihat dan mencatat tahap tertinggi.

India merupakan rakan dagang ke-10 terbesar Malaysia, menyumbang 3.3 peratus atau AS$11.7 bilion daripada jumlah dagangan negara.

Eksport utama ke India termasuk minyak sawit dan produk berasaskan sawit, barangan elektrik dan elektronik, petroleum mentah, program logam dan kimia.

Najib berkata import utama dari India terdiri daripada petroleum, pertanian, logam, bahan kimia, jentera dan peralatan, manakala syarikat Malaysia seperti Tune Hotels, IJM Corp dan UMW Corporation turut mengembangkan operasi mereka di negara ini.

Beliau berkata hubungan Malaysia-India diperkukuhkan lagi oleh perjanjian dua hala dan pelbagai hala seperti Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif  Malaysia-India (MICECA) dan Perjanjian Perdagangan Bebas Asean-India (AIFTA).

Najib berkata sebagai negara yang mempunyai daya tahan yang kuat, dengan pertumbuhan 4.2 peratus pada tahun lepas, Malaysia kekal sebagai destinasi menarik untuk pelaburan langsung asing (FDI).

FDI dalam sektor pengilangan, perkhidmatan dan sektor utama yang diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) pada 2016 meningkat 63.4 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Keyakinan ke atas Malaysia ini bersandarkan analisis pelbagai organisasi dan institusi bebas, dengan yang terbaru BAV Consulting dan Wharton School University of Pennsylvania, yang merumuskan Malaysia sebagai negara terbaik untuk melabur dalam Laporan 2017 mereka.

Najib berkata dengan tujuh peratus daripada penduduk Malaysia terdiri daripada masyarakat yang berasal dari India - peratusan tertinggi diaspora India di luar India - dan dengan majoritinya Tamil, pasaran terbuka untuk perniagaan dan idea daripada pelabur tempatan.

"Menerusi usaha bersama kedua-dua negara, saya yakin kerjasama dan dagangan dua hala Malaysia-India akan mencapai tahap baharu," katanya.-- Bernama 


Najib, Chennai

Artikel Lain