suria

Fama Catat Nilai Jualan RM21.24 Juta Setakat 15 Mac Melalui 'My Best Buy'

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani Pahang, Datuk Shafik Fauzan Sharif (dua, kanan) menunjukkan buah-buahan selepas merasmikan MyBest Buy Jualan Terus Produk-Produk Negeri Pahang di Ibu Pejabat Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Bandar Baru Selayang, Jumaat. Turut kelihatan Ketua Pengarah Fama, Datuk Ahmad Ishak (kanan).

KUALA LUMPUR: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) mencatat jualan bernilai RM21.24 juta melalui program 'My Best Buy', sejak ia diperkenalkan pada 2014 sehingga 15 Mac lepas, kata Ketua Pengarah Datuk Ahmad Ishak.

Beliau berkata, 'My Best Buy' telah diadakan sebanyak 2,516 kali di 99 lokasi di seluruh Malaysia dengan melibatkan 1,590 usahawan sepanjang tempoh berkenaan.

"Dalam program ini (sejak 2014 hingga 15 Mac, 2017), bilangan pengunjung mencecah 1,123,094 orang.

"Pada awal tahun ini sehingga 15 Mac lalu, nilai urus niaga sebanyak RM1.94 juta dengan 1,590 usahawan tempatan dan 103,980 pengunjung," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan mesra program My Best Buy Jualan Terus produk keluaran Pahang di ibu pejabat Fama di sini, Jumaat.

Ahmad berkata, My Best Buy merupakan program di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bertujuan membantu rakyat di kawasan bandar menangani kesan kenaikan kos sara hidup manakala pengguna boleh mendapatkan barangan pada harga berpatutan.

"Konsepnya, kami membawa hasil dari ladang (petani dan pengeluar) terus kepada pengguna. Lokasinya melibatkan pejabat-pejabat kerajaan, perumahan awam dan pasar raya.

"Pengguna akan memperolehi kesan penjimatan harga sebanyak lima hingga 20 peratus bagi barang segar terutama ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan," katanya.

Beliau berkata, Fama menyasarkan nilai urus niaga sebanyak RM10 juta di 100 lokasi seluruh negara dengan My Best Buy diadakan sebanyak 1,200 kali sehingga akhir tahun ini.

Terdahulu, Ahmad bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Pahang Datuk Shafik Fauzan Sharif melakukan tinjauan mesra My Best Buy di setiap gerai usahawan Pahang di ibu pejabat Fama.

Sementara itu, Shafik Fauzan berkata lebih 10 tan hasil tani negeri Pahang dijual oleh 31 usahawan dalam program My Best Buy kali ini.

"Antara yang menjadi tumpuan orang ramai di sini ialah durian Musang King, Nangka J33, Rock Melon Mahsuri, ulam-ulaman, sayur-sayuran dari Cameron Highlands, lauk-pauk terutama ikan patin masak tempoyak. Kesemuanya hasil daripada pengeluar itu sendiri tanpa melalui orang tengah," katanya.-- Bernama

Fama, My Best Buy

Artikel Lain