suria

McDonald's Malaysia Labur RM363 Juta Tambah, Baik Pulih Restoran

KUALA LUMPUR: McDonald's Malaysia melabur sebanyak RM363 juta untuk menambah 33 restoran baharu dan membaik pulih 86 yang lain di negara ini, sebagai sebahagian daripada rancangan pertumbuhan tiga tahunnya.

Pengarah Urusan/Rakan Kongsi Operasi McDonald's Malaysia Azmir Jaafar berkata sehubungan itu syarikat berkenaan memperuntukkan RM100 juta untuk membangunkan restoran pandu lalu dan bagi membaik pulih.

Bercakap pada taklimat media di sini hari ini, beliau berkata McDonald's Malaysia yang memiliki rangkaian 262 restoran dan 12,000 kakitangan yang memberi khidmat kepada 13.5 juta pelanggan setiap bulan, yakin mencatatkan pertumbuhan dua angka tahun ini.

"Tahun lepas kami memecah rekod dengan mencatatkan pertumbuhan hasil paling tinggi dalam sejarah pada 16 peratus," katanya.

Beliau berkata McDonald's Malaysia juga merancang melabur sebanyak RM1.4 bilion untuk membuka 450 restoran dan mewujudkan 10,000 pekerjaan baharu dalam tempoh lapan tahun akan datang.

Ketika ini McDonald's Malaysia memiliki 82 hab penyediaan, 113 McCafe, 151 restoran pandu lalu dan 200 restoran dibuka 24 jam di seluruh negara.

Azmir berkata McDonald's Malaysia meneruskan pertumbuhannya di bawah pemilikan Pemegang Lesen Pembangunan (DL) baharu.

McDonald's Corp mengumumkan pada lewat 2016 ia memilih Lionhorn Pte. Ltd. sebagai DL bagi pasarannya di Malaysia dan Singapura.

Lionhorn diterajui Sheik Fahd dan Abdulrahman Alireza, mempunyai pengalaman lebih 20 tahun sebagai DL bagi hampir 100 restoran McDonald di wilayah barat dan selatan Arab Saudi.

Azmir berkata di bawah struktur DL, Lionhorn Pte.Ltd akan menyediakan modal yang perlu bagi menyokong dan mengembangkan perniagaan, manakala pengurusan seharian pasaran Malaysia akan terus diterajui oleh pimpinan tempatan yang mempunyai pengetahuan serta pemahaman yang diperlukan bagi memacu kejayaan perniagaan di negara ini.

Menurutnya, perkongsian Lionhorn Group itu muncul tepat pada masanya bagi membantu McDonald's Malaysia mencatatkan pertumbuhan seterusnya.

Dilaporkan bahawa sebagai sebahagian daripada rancangan pemulihan McDonald's Corp yang diumumkan pada Mei 2015, ia komited untuk memfrancaiskan semula 4,000 restoran menjelang akhir 2018 dengan matlamat jangka panjang menjadikan 95 peratus daripadanya difrancaiskan.

McDonald's kini telah memfrancaiskan kira-kira 1,300 restoran.-- Bernama



McDonald

Artikel Lain