suria

GCH Retail Buka Cawangan Giant Ke-123

Ketua Pegawai Eksekutif GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd Pierre Deplanck (dua, kanan) ketika membuat lawatan sempena majlis pembukaan Giant Tunjung, Khamis. Turut hadir Pengurus Besar Operasi Giant Neil Gurusamy (kiri) dan Pengurus Besar Giant Tunjung Suhaimi Ibrahim (kanan).

KOTA BHARU: GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd, pemilik pasar raya jenama Giant, membuka cawangannya yang ke-123 di negara ini di Giant Tunjung Mall di Bandar Baharu Tunjung, di sini, Khamis.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Pierre Olivier Deplanck berkata, cawangan itu juga merupakan yang kedua di Kelantan dengan cawangan pertama dibuka beberapa tahun lepas di Kota Bharu Trade Centre (KBTC).

"Dengan pembukaan gedung ini, 700 peluang pekerjaan diwujudkan dan kami juga berjaya mendapatkan lebih 10 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menjadi pembekal bagi Giant Tunjung.

"Ini adalah cara kami bagi menyokong masyarakat tempatan di kawasan kami beroperasi," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas merasmikan pembukaan cawangan baharu itu.

Turut hadir ialah Pengurus Besar Giant (Operasi) Neil Gurusamy, Pengurus Wilayah Pantai Timur Giant Sari Siron dan Pengurus Besa Giant Tunjung Suhaimi Ibrahim.

Deplanck berkata gedung baharu itu mempunyai sebanyak 127 peruncit yang menawarkan pelbagai barangan termasuk elektronik, jenama fesyen dan makanan.

"Dengan gedung konsep baharunya yang seluas 95,000 kaki persegi, Giant Tunjung Mall akan menjadi penyedia penyelesaian sehenti bagi semua keperluan keluarga dan menampung keperluan lebih 51,000 isi rumah di kawasan itu.

"Ia juga mempunyai 350 ruang parkir dan 57,000 kaki persegi pasar raya dan menjadi pemangkin untuk mengubah kejiranan Bandar Baharu Tunjung sebagai perbandaran pilihan utama yang menawarkan pelbagai kemudahan kepada penduduk," katanya.

Terdahulu, sebagai sebahagian daripada program Tanggungjawab Sosial Korporat Giant, Deplanck juga menyerahkan cek bernilai RM50,000 kepada ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan MyKasih, Siti Khairon Shariff.

Dana itu akan diagihkan kepada 50 keluarga kurang bernasib baik di sekitar Kota Bharu bagi membolehkan mereka membeli barangan runcit mereka di Giant setiap bulan selama setahun.-- Bernama

Giant, Kota Bharu

Artikel Lain