suria

TNB Tingkat Ranking 50 Jenama Utiliti Terbaik Global

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) meningkat 15 anak tangga kepada kedudukan ke-24 dalam 50 jenama utiliti terkemuka - Brand Finance Global 2017, atau Utilities 50 (2017).

Dalam kenyataan pada Selasa, TNB berkata ini merupakan lonjakan 33 peratus dari segi nilai jenama pembadanan utiliti nasional itu atau sebanyak US1.58 bilion (AS$1= RM4.42) berbanding AS$1.19 bilion pada 2016.

Brand Finance yang beribu pejabat di London, dalam laporan tahunan terbarunya mengenai jenama utiliti paling bernilai tinggi di dunia, menyebut TNB sebagai jenama paling pesat berkembang dalam senarai Utilities 50.

Peningkatan kedudukan TNB dicapai walaupun lebih separuh daripada jenama dalam senarai tahun ini susut nilai, termasuk tiga terbaik - Engie (Perancis), EDF (Perancis) dan Enel (Itali), katanya.

Brand Finance juga menyatakan bahawa program transformasi TNB, penjenamaan semula TNB, dan bergerak untuk menjamin kapasiti penjanaan antarabangsa, serta pengambilalihan 30 peratus kepentingan dalam GMR Energy Ltd yang berpangkalan di India, sebagai langkah yang tepat untuk menghasilkan pertumbuhan seterusnya.

Antara utiliti Asia lain yang disenarai dalam Brand Finance Utilities 50 ialah KEPCO (Korea Selatan - 5), TEPCO (Jepun - 11), Chubu (Jepun - ke-18), Kogas (South Korea - ke-19), Kansai (Jepun - 30) dan Tata Power (India - ke-47).

Laporan Penilaian jenama Utilities 50 menawarkan cara yang paling berkesan dari segi kos untuk syarikat memahami kedudukan mereka berbanding pesaing.

Brand Finance, perunding strategi dan penilaian perniagaan berjenama, menilai lebih 3,500 jenama dalam semua sektor dan geografi, setiap tahun.-- Bernama


TNB, Brand Finance

Artikel Lain