Rohas Tecnic Akan Bida Projek RM500 Juta Tahun Ini

Diterbitkan: Jumaat, 17 Mac 2017 4:09 PM

Pengarah Bebas dan Bukan Eksekutif Rohas Tecnic Bhd, Tan Sri Wan Azmi Wan Hamzah (kanan) melihat carta saham selepas penyenaraian saham syarikat itu ke dalam pasaran utama di Bursa Malaysia, Jumaat.
Turut hadir Ketua Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Seri Tajuddin Atan (kiri) dan Pengarah Urusan Rohas Tecnic Bhd, George Sia.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Rohas Tecnic Bhd yang mula disenaraikan di pasaran utama Bursa Malaysia menyasarkan nilai perolehan projek sebanyak RM500 juta tahun ini dalam bidang pembekalan elektrik, rawatan air dan  telekomunikasi.

Ketua Pegawai Eksekutif Rohas-Euco Industries Bhd Leong Wai Yuan berkata kumpulan itu kini membida projek rawatan air di Vietnam.

"Kami kini menunggu keputusannya. Banyak projek pembidaan sangat subjektif, bergantung kepada kedudukan pasaran dan saingan.

"Kami perlu tingkatkan keupayaan kami. Apa sahaja keputusan pembidaan, ini mencerminkan kedudukan kami dalam pasaran," katanya kepada pemberita syarikat itu di sini, Jumaat.

Nilai kontrak dalam tangan syarikat itu kini berjumlah RM180 juta, yang bertahan untuk tempoh satu setengah tahun.

Rohas Tecnic adalah hasil daripada pengambilalihan berbalik (RTO) antara Rohas-Euco Industries Sdn Bhd (REI) dan syarikat pegangan pelaburan Tecnic Group Bhd.

REI merupakan syarikat fabrikasi keluli yang pernah disenarai di bursa, sebelum dibeli oleh ahli perniagaan terkemuka Tan Sri Wan Azmi Wan Hamzah kira-kira sembilan tahun lepas.

Ia terlibat dalam aktiviti reka bentuk, fabrikasi dan membina pencawang elektrik dan menara telekomunikasi, serta struktur keluli untuk jana kuasa elektrik.

Wai Yuan berkata kumpulan mengumpul kira-kira RM26 juta daripada langkah penyenaraian itu dan daripada jumlah tersebut, RM10 juta akan digunakan untuk membina kecekapan dalam kapasiti pembuatannya.

"Kami perlu membeli mesin baharu dan melabur dalam teknologi baharu yang membolehkan kami mempunyai asas kos yang rendah untuk mencapai kecekapan lebih tinggi," katanya.

Wai Yuan berkata sebahagian besar daripada perolehan kumpulan adalah daripada pasaran domestik, menyumbang 90 peratus.

Beliau menjangka sumbangan perolehan daripada domestik dan antarabangsa dalam nisbah 70:30 dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Mengenai prospek perniagaan pembekalan tenaga, Leong berkata, permintaan terhadap tenaga akan meningkat dengan ketara pada masa akan datang.

"Oleh itu, kami cuma mempersiapkan diri untuk membinanya bagi Malaysia.

"Selain itu, kami mahu meninjau peluang di Sarawak, yang akan terdapat projek hidroelektrik yang besar yang akan dibina awal tahun ini. Kami berharap berada di sana untuk membekalkan tenaga," katanya.

Rohas Tecnic Bhd dibuka pada 99.5 sen, 11.16 sen lebih rendah daripada harga dagangan terakhir Tecnic Group Bhd pada RM1.12.-- Bernama

Tags / Kata Kunci: Rohas Tecnic

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan