suria

MAB Kargo Raih Manfaat Sinergi Menerusi Usaha Sama Dengan Silk Way West

KUALA LUMPUR: Syarikat pengangkut kargo udara, MAB Kargo Sdn Bhd, berkata sinergi daripada perkhidmatan usaha sama dengan syarikat pengangkutan kargo Azerbaijan, Silk Way West Airlines, mulai 17 Mac 2016, memberi manfaat ke atas operasi antarabangsanya.

"Kami mempunyai hubungan yang baik dari Lapangan Terbang Antarabangsa Baku Heydar Aliyev di Azerbaijan ke Chicago dengan penerbangan kargo beroperasi menggunakan pesawat pengangkut B74-800 sekali seminggu dan sebuah lagi terbang ke Lapangan Terbang Antarabangsa JFK di New York melalui Baku," kata Ketua Eksekutifnya Ahmad Luqman Mohd Azmi kepada Bernama.

Beliau berkata kerjasama strategik antara kedua-dua penggiat kargo udara menerusi perjanjian ruang blok (BSA) itu melibatkan laluan dua kali seminggu ke dan dari Kuala Lumpur dan Amsterdam melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Heydar Aliyev Baku di Azerbaijan.

MAB Kargo mempunyai kumpulan tiga pesawat kargo A330-200 manakala Silk Ways of Azerbaijan mengendalikan tiga pesawat B747-800 dan empat B747-400.

Luqman berkata rangkaian kukuh ini yang dibangunkan oleh kedua-dua rakan usaha sama, akan terus memberi perkhidmatan kepada pasaran utama di Asia dan Australia, menggunakan kumpulan pesawat kargo Airbus A330-200.

Perkongsian dengan Silk Way West juga akan membolehkan MAB Kargo berkembang ke destinasi baharu seperti Baku dan Tehran (Iran) dan memebri perkhidmatan kepada pasaran biasa seperti Frankfurt, Malpensa, Vienna, Istanbul dan New York, katanya.

Pada 2016, MAB Kargo mengangkut kira-kira 204,118 tan metrik kargo, merosot berbanding 293,075 tan pada 2015.

Beliau berkata penurunan 30 peratus itu sebahagian besarnya disebabkan oleh rasionalisasi rangkaian penumpang dan kargo.

Mengulas isu Brexit, Luqman berkata ia tidak akan menjejaskan MAB Kargo "kerana kami memberi perkhidmatan ke pasaran UK secara langsung dan bukan melalui Kesatuan Eropah".

Artikel Lain