suria

Pelaburan Swasta Malaysia Meningkat 4.6 Peratus Pada 2017

KUALA LUMPUR: Pertumbuhan pelaburan swasta Malaysia diunjur meningkat lebih pantas pada 4.6 peratus tahun ini berbanding 4.4 peratus yang direkodkan tahun lepas, didorong oleh kelulusan pelaburan yang berdaya tahan pada 2016.

RHB Research berkata walaupun berhadapan cabaran luar, Malaysia berjaya menarik pelaburan swasta yang berkualiti, berdasarkan daya tahan dan usaha kerajaan mempromosikan pelaburan.

"Ini dibuktikan menerusi pelaburan swasta yang diluluskan (diukur dari segi Pembentukan Modal Tetap Kasar pada harga semasa) yang merekodkan RM78.4 bilion pada suku keempat tahun ini," katanya.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed semalam mengumumkan bahawa Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia meluluskan  RM207.9 bilion pelaburan membabitkan 4,972 projek pembuatan, sektor utama dan perkhidmatan, tahun lepas.

Beliau berkata angka itu meningkat 7.7 peratus berbanding pelaburan  RM193 bilion yang diluluskan pada 2015.

Daripada jumlah pelaburan itu, 71.6 peratus atau RM148.9 bilion membabitkan pelabur domestik, dan baki 28.4 peratus atau RM59.0 bilion menerusi pelaburan langsung asing.-- Bernama


RHB Research, Malaysia

Artikel Lain