suria

KWSP Isytihar Dividen 5.75 Peratus Bagi 2016

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengisytiharkan kadar dividen 5.70 peratus bagi 2016, dengan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak RM37.08 bilion, satu pencapaian yang baik walaupun berdepan dengan keadaan pasaran yang sukar.

Pengerusinya, Tan Sri Samsudin Osman berkata KWSP gembira kerana berjaya mengatasi dua sasaran pelaburan KWSP secara konsisten iaitu untuk mengisytiharkan kadar dividen nominal sekurang-kurangnya 2.5 peratus setiap tahun dan kadar dividen sebenar melebihi inflasi sekurang-kurangnya 2.0 peratus bagi purata bergerak tiga tahun.

"Sebagai sebuah dana simpanan persaraan, KWSP sentiasa memberi penekanan terhadap pulangan yang mampan untuk jangka panjang berbanding pulangan jangka pendek.

"Ini merupakan satu pencapaian yang baik walaupun berhadapan dengan keadaan pasaran yang sukar. Bagi 2016, dividen sebenar untuk purata tiga tahun bergerak adalah 3.83 peratus, 183 mata asas melebihi sasaran," katanya dalam satu kenyataan, di sini, Sabtu.

Semasa tahun tersebut, Samsudin berkata, KWSP berhadapan dengan persekitaran pelaburan yang mencabar berikutan berlakunya peristiwa yang membimbangkan seperti Brexit dan pilihan raya Presiden di Amerika Syarikat.

Sepanjang 2016, KWSP beroperasi dalam suasana pertumbuhan global yang kurang memberangsangkan selain berhadapan dengan perubahan polisi kewangan oleh ekonomi utama dunia, kejatuhan harga minyak, nilai matawang domestik yang lemah serta aliran keluar modal yang tinggi dari pasaran negara membangun kepada pasaran negara maju dan kepada matawang yang lebih selamat, katanya seperti dilaporkan Bernama.

"Majoriti pasaran dunia mengalami penyusutan pada awal 2016 sekali gus menjejaskan prestasi KWSP. Bagaimanapun, kami telah menggiatkan aktiviti pengambilan untung bermula suku tahun kedua (S2 2016) agar dapat mencapai sasaran strategik kami," katanya.

Bagi 2016, amaun pendapatan yang diagihkan sebagai dividen adalah lebih tinggi daripada amaun yang diagihkan pada 2014 walaupun kadar dividen pada 2014 lebih tinggi pada 6.75 peratus.

Beliau berkata ini berikutan jumlah pengagihan untuk setiap satu peratus kadar dividen pada 2016 adalah RM6.51 bilion berbanding RM5.43 bilion pada 2014.

Jumlah yang diperlukan untuk pengagihan setiap satu peratus kadar dividen terus meningkat sebanyak 9.5 peratus setahun sejak 2001 selaras dengan pertumbuhan baki simpanan ahli untuk tempoh yang sama.

"Sejak krisis kewangan global pada 2008, KWSP telah mengagihkan RM236.07 bilion dividen kepada ahlinya," katanya.

Pembayaran dividen diperoleh daripada jumlah pendapatan nyata selepas ditolak rosot nilai bersih ke atas aset kewangan, kerugian tidak nyata yang disebabkan oleh kadar pertukaran mata wang asing dan harga instrumen derivatif, perbelanjaan pelaburan dan operasi, caj berkanun serta dividen atas pengeluaran.

Mengulas tentang keadaan ekonomi pada 2017, Samsudin berkata, ketidaktentuan pasaran akan terus menjadi kebimbangan kerana implikasi sebenar daripada Brexit dan hala tuju polisi yang jelas di bawah pentadbiran Trump masih belum terungkai.

"Strategi pempelbagaian kami terbukti berkesan terutamanya di waktu sukar, dan kami akan terus meningkatkan pendedahan kepada pelaburan alternatif terutamanya dalam hartanah dan infrastruktur selari dengan objektif kami sebagai pelabur jangka panjang untuk memberikan pulangan yang konsisten kepada ahli.

"Kelas aset ini juga bertindak sebagai instrumen lindung nilai semulajadi terhadap inflasi," katanya.

Bermula 2017, prestasi KWSP akan dilaporkan mengikut Simpanan Konvensional dan Simpanan Syariah bagi pengumuman prestasi suku tahun dan tahunan.

Sehingga 23 Disember 2016, sebanyak 635,037 ahli telah bertukar ke Simpanan Syariah, dengan penggunaan peruntukan sebanyak RM59.03 bilion daripada peruntukan RM100 bilion yang ditawarkan.

Ahli-ahli boleh menyemak pengkreditan dividen 2016 melalui penyata KWSP mereka bermula Ahad, 19 Februari 2017, melalui i-Akaun di laman web KWSP di www.kwsp.gov.my.

Selain itu, ahli juga boleh mendapatkan penyata KWSP melalui Kios KWSP atau hadir ke mana-mana cawangan KWSP di seluruh negara.

KWSP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain