suria

TM Yakin Mampu Tingkat Jumlah Pelanggan PKS

KUALA LUMPUR: Telekom Malaysia Bhd (TM) yakin dapat mempertingkatkan jumlah pelanggan dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerusi pengenalan pelbagai penyelesaian digital bagi mengembangkan perniagaan golongan tersebut.

"Kita yakin dapat menembusi lebih banyak PKS menerusi produk dan program baharu yang memberi pilihan tepat untuk mereka mempertingkatkan perniagaan masing-masing," kata Naib Presiden Eksekutif dan PKS TM, Imri Mokhtar.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan seminar TM SME Bizfest 2017 di sini, Rabu.

Mengulas lanjut, Imri berkata pada masa ini, 70 peratus daripada kira-kira 700,000 PKS yang aktif di seluruh negara merupakan pelanggan TM.

Dalam pada itu, program TM SME Bizfest bertemakan 'Innovate to Dominate:Go Digital' (Inovasi Untuk Dominasi: Amalkan Digital) berkenaan akan diadakan di lima lokasi berbeza di seluruh negara, termasuk Pusat Konvensyen Sime Darby di sini dan Pusat Konvensyen Borneo di Kuching, Sarawak.

Menurut Imri, dianggarkan 6,000 PKS akan mengambil bahagian dalam program berkenaan tahun ini.

Beliau menyifatkan program tahunan itu sebagai platform terbaik untuk para PKS tempatan, khususnya yang beroperasi dari rumah selain segmen perusahaan kecil dan mikro, menimba pengetahuan dalam bidang perniagaan.

Selain paparan penyelesaian teknologi perniagaan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), acara itu akan turut mengetengahkan ceramah oleh speaker terkemuka selain perkongsian kisah kejayaan PKS.

Imri berkata, SME BizFest 2017 itu merupakan sebahagian usaha TM untuk membangunkan negara pintar dengan mengetengahkan pilihan digital terbaik bagi manfaat PKS selain membantu mereka mengembangkan perniagaan.

"Bagi tujuan menjalankan perniagaan, kita perlu (tahu kaedah) memenangi hati pelanggan. Oleh itu, kita perlu mengenal pasti cara untuk berurusan dengan PKS menerusi penganjuran program berkaitan.

"PKS juga perlu mencari jalan mengatasi pesaing dan kita percaya usaha pelaksanaan kaedah digital adalah teras bagi pembangunan PKS," katanya.

Menurutnya, TM juga akan melancarkan beberapa produk baharu bagi pasaran PKS tahun ini termasuk aplikasi penyelesaian perniagaan dan Perkhidmatan Webe.

"Kita percaya inovasi digital ini akan membuka lebih banyak peluang, membolehkan PKS meningkatkan produktiviti serta bersaing secara berkesan," katanya.

Bersempena penganjuran SME BizFest 2017 itu juga, TM akan menawarkan promosi istimewa Kempen PKS BizFest membabitkan pakej khusus untuk golongan itu.

Ini termasuk rangkaian jalur lebar berkelakuan tinggi dan penyelesaian nilai tambah ICT dengan penjimatan sehingga RM2,000 apabila mereka mendaftar sepanjang tempoh program berkenaan.

Acara SME BizFest 2017 itu disokong oleh SME Corporation Malaysia (SME Corp), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia dan Bank Islam Malaysia Bhd. - BERNAMA

TM Malaysia, Telekom

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain