suria

Fujifilm Sasar Ganda Perolehan Dalam Lima Tahun

Bilik Pameran Seni Grafik menempatkan produk teknologi terkini di Pusat Khidmat Fujifilm di Hicom Glenmarie, Shah Alam.

SHAH ALAM: Fujifilm (Malaysia) Sdn Bhd menyasar untuk menggandakan perolehannya daripada RM250 juta pada 2016 kepada RM500 juta dalam tempoh lima tahun akan datang, kata Pengarah Urusan Yoshitaka Nakamura.

Beliau berkata permintaan bagi pengimejan foto komprehensif, seni grafik dan penyelesaian pengimejan perubatan akan memacu Fujifilm ke arah mencapai sasaran berkenaan.

Pusat perkhidmatannya bernilai RM8 juta yang baru dilancarkan di Shah Alam, yang menampilkan pelbagai perkhidmatan dan keupayaan untuk memenuhi pasaran juga akan menyumbang kepada sasaran berkenaan.

"Kami yakin pusat perkhidmatan berkenaan akan dapat memenuhi kepuasan pelanggan dalam aspek sokongan teknikal dan perundingan perniagaan terutamanya dengan teknologi terkini kami.

"Kami yakin kepuasan pelanggan akan membawa pertumbuhan kukuh kami," katanya kepada pemberita selepas pelancaran pusat berkenaan di sini, Rabu.

Nakamura berkata kemudahan berkeluasan 4,500 kami persegi itu dijangka meningkatkan kepakaran, produktiviti, kualiti dan ketepatan masa pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan kepada pelanggan.

Pusat tersebut merupakan yang pertama di rantau ini yang membolehkan pelanggan menguji produknya yang berteknologi canggih.

Nakamura berkata, pusat perkhidmatan itu juga menyediakan bilik pameran  sistem perubatan Fujifilm bernilai RM4 juta, menampilkan teknologi pengimejan maju dan aliran kerja mesra pengguna bagi memenuhi permintaan perubatan semasa.

"Pada masa ini, hanya beberapa hospital didigitalkan dan kami melihat potensi besar dalam melengkapkan hospital yang dikendalikan oleh kerajaan dan  swasta dengan teknologi pengimejan perubatan kami.

"Bilik pameran perubatan membolehkan doktor dan juru x-ray menjalankan prosedur simulasi menggunakan pengimejan diagnostik Fujifilm dan sistem maklumat daripada mamografi 3D (tomosintesis), endoskopi dua belon dan pengimejan perubatan serta sistem pengurusan maklumat," katanya.-- Bernama

Fujifilm, Shah Alam

Artikel Lain