suria

Sunway Property Sasar Jualan Bernilai RM1.1 Bilion Pada 2017

KUALA LUMPUR: Sunway Property menyasar untuk mencatat jualan bernilai RM1.1 bilion pada 2017 dengan dipacu pelancaran projek baharu.

Pengarah Urusan Bahagian Pembangunan Hartanah bagi Malaysia dan Singapura Sunway Bhd, Sarena Cheah berkata, kumpulan itu merancang untuk melancarkan antara 10 dan 12 projek di Malaysia serta selain di China, dengan nilai pembangunan kasar (NPK) RM2 bilion, tahun ini.

"Kami kekal berhati-hati, walaupun dengan sejumlah pelancaran projek tahun ini, setiap pelancaran akan bergantung kepada permintaan pasaran.

"Berdasarkan kejayaan kami tahun lepas, syarikat yakin bahawa pelancaran berkenan akan mencatat prestasi baik memandangkan kebanyakannya adalah hartanah bersepadu," katanya semasa taklimat media di sini, Selasa.

Sementara itu, Cheah berkata Sunway Property, bahagian hartanah Sunway Bhd, akan memperluaskan Sunway Velocity Two di Cheras selepas memperoleh penambahan kawasan seluas 3.42 hektar di Jalan Peel ke dalam simpanan tanahnya baru-baru ini.

Projek, terletak berhampiran Sunway Velocity Mall, dijalankan bagi tempoh  10 tahun itu, akan merangkumi 70 peratus unit kediaman, bagi melengkapkan pusat beli-belah yang mempunyai 75 peratus unit komersial.

"Dengan anggaran NPK sebanyak RM2 bilion, kami merancang untuk membina laluan antara pusat beli-belah itu dan Sunway Velocity Two," katanya.

Selain pembangunan Sunway Velocity, projek berkenaan turut dilengkapi penyiapan hotel, pusat perubatan dan dua menara pejabat korporat yang sedang dibina.

Jumlah simpanan tanah keseluruhan kumpulan itu kini sebanyak 1,336 hektar.

Artikel Lain