suria

Untung Sebelum Cukai Bina Darulaman Meningkat Kepada RM52.29 Juta

KUALA LUMPUR: Keuntungan sebelum cukai Bina Darulaman Bhd meningkat kepada RM52.29 juta bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Dis, 2016 berbanding RM40.77 juta pada 2015.

Perolehannya juga menokok kepada RM356.59 juta daripada RM243.3 juta, sebelum ini.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, syarikat itu menyifatkan prestasi lebih kukuh itu disumbangkan oleh bahagian hartanah serta segmen jalan raya dan kuari.

Menurutnya, segmen hartanah mencatat hasil lebih tinggi sebanyak RM213 juta berbanding RM107 juta pada 2015 manakala perolehan unit jalan raya dan kuari turut menokok kepada RM111.5 juta daripada RM102.6 juta, sebelumnya.

Bagi suku keempat itu sahaja, keuntungan sebelum cukai Bina Darulaman Bhd bertambah kepada RM36.93 juta daripada RM26.94 juta, didorong oleh perolehan lebih tinggi sebanyak RM153.92 juta daripada RM105.84 juta.

Mengulas prospek masa depan, Bina Darulaman menjangkakan dapat mencatat prestasi lebih baik bagi 2017 memandangkan projek serta simpanan tanahnya yang mencukupi dan mampu memberi pulangan yang lebih mapan.

Pada 12.30 tengah hari, saham Bina Darulaman adalah 71 sen iaitu susut 1.5 sen dengan sejumlah 106,000 saham saling berpindah tangan.

Artikel Lain