suria

Maxis Catat Keputusan Kewangan 2016 Yang Kukuh

KUALA LUMPUR: Keuntungan sebelum cukai Maxis Bhd naik kepada RM2.74 bilion bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Dis, 2016 berbanding RM2.46 bilion pada tempoh yang sama sebelumnya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, perolehan penyedia perkhidmatan komunikasi dan internet itu juga naik kepada RM8.61 bilion daripada RM8.60 bilion sebelumnya.

Bagi suku keempat sahaja, Maxis mencatatkan keuntungan sebelum cukai yang lebih tinggi pada RM675 bilion berbanding RM673 bilion pada tempoh yang sama pada 2015, manakala perolehan menokok kepada RM2.21 bilion daripada RM2.18 bilion.

"Tahun 2016 mencabar, namun merupakan tahun yang baik kepada kami. Walaupun persaingan sengit dari segi harga di pasaran, kami mencatatkan prestasi yang baik dengan memberi tumpuan kepada tawaran nilai menarik yang unik," kata Ketua Pegawai Eksekutif Morten Lundal dalam satu kenyataan, Selasa.

"Pelanggan kami kini menikmati gabungan data yang banyak pada harga yang menarik di rangkaian terbaik dan kami berbangga untuk kepuasan pelanggan tertinggi.

"Secara keseluruhan, 2016 mencatatkan perkembangan yang baik dengan momentum  positif menuju 2017," katanya.

Pada 2016, Maxis berkata syarikat terus meningkatkan perolehan, keuntungan dan bahagian pasaran, disokong oleh perolehan purata lebih tinggi bagi setiap pengguna, penggunaan 4G yang kukuh, penggunaan data yang teguh serta rangkaian 4G LTE menerajui industri.

Syarikat juga telah melabur RM1.2 bilion dalam perbelanjaan modal bagi meningkatkan kapasiti dan liputan, terutamanya dalam rangkaian 4G.

Sementara itu, perolehan perkhidmatan suku keempat Maxis naik 0.5 peratus berbanding tahun ke tahun kepada RM2.16 bilion dengan prestasi pascabayar dan prabayar yang kukuh.

Menurut syarikat itu, perolehan prabayar kukuh pada RM1.02 bilion dengan  Internet mudah alih memacu momentum manakala pascabayar mencatatkan perolehan sebanyak RM1.004 bilion dengan pengambilan kukuh dipacu oleh MaxisONE Plan dan Zerolution.

Artikel Sebelum

Petronas Labur RM18 Juta Di Sabah

Artikel Lain