suria

Syarikat Belanda KCAP Akan Bangun Pelan Induk Jurong Lake District

SINGAPURA: Pihak Berkuasa Pembangunan Semula Bandar (URA) melantik pasukan yang diterajui KCAP Architects  and  Planners (KCAP) sebagai perunding untuk membangunkan pelan induk terperinci bagi Jurong Lake District.

Terminal Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) akan terletak di kawasan itu dan bakal menyediakan peluang tambahan untuk menukarkannya menjadi Daerah Perniagaan Pusat kedua Singapura dan Daerah Masa Depan.

URA dalam satu kenyataan hari ini berkata, cadangan pasukan itu menerima skor tertinggi dalam kalangan lima pasukan yang disenarai pendek bagi peringkat kedua Permintaan untuk Cadangan (RFP) Jurong Lake District.

URA melancarkan RFP itu pada Julai 2016 untuk mempelawa pasukan pelbagai disiplin membangunkan cadangan pelan induk bagi kawasan pertumbuhan utama tersebut.

Daripada 35 pasukan yang berminat, lima disenarai pendek untuk meneruskan ke peringkat kedua RFP. Pihak yang telah disenarai pendek menyerahkan cadangan pelan induk konsep mereka pada Disember 2016.

Cadangan daripada pasukan yang diterajui KCAP berjaya memenuhi jangkaan dan keperluan RFP.

Perunding yang dilantik itu akan bekerjasama dengan URA dan agensi-agensi berkaitan untuk memperhalusi pelan induk dan merangka cadangan terperinci bagi  Jurong Lake District dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

URA berkata cadangan-cadangan ini akan dipamerkan pada pertengahan 2017.

Susulan tempoh pameran itu, URA akan bekerjasama dengan perunding yang dilantik untuk mengkaji dan memasukkan maklum balas yang diberikan bagi cadangan terperinci yang mana sesuai sebelum memuktamadkan pelan induk Jurong Lake District.

Kumpulan perunding yang dilantik itu terdiri daripada KCAP Architects  and  Planners, SAA Architects, Arup, S333 dan Lekker.

KCAP, yang mengetuai pasukan itu merupakan sebuah syarikat Belanda yang berpangkalan di Rotterdam, dengan pejabat di Zurich dan Shanghai.

Ia terlibat dalam projek-projek besar seperti perancangan induk HafenCity di Hamburg, Jerman.

Artikel Lain