suria

Volvo Malaysia Sasar Lima Pasaran Baharu Tahun Ini

KUALA LUMPUR: Volvo Car Manufacturing Malaysia Sdn Bhd menyasarkan pasaran eksport lebih luas di rantau Asia tahun ini susulan langkah pengubahsuaian kilangnya di Shah Alam, Selangor yang akan meningkatkan kapasiti pengeluaran.

Pengarah Urusan, Fredrik Karlsson berkata Vietnam, Myanmar, Filipina, Indonesia dan Taiwan sebagai lima pasaran eksport baharu.

"Kami akan mula mengeksport pada pertengahan 2017 (sebaik sahaja pengubahsuaian selesai) dengan SUV (kenderaan utiliti sukan) mewah XC90, diikuti kereta baharu pada akhir tahun," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata pengubahsuaian kilang dengan peruntukan RM20 juta itu adalah sebahagian daripada pelan perluasan Volvo menjelang 2020 untuk meningkatkan pengeluaran keseluruhan kepada 5,000 kenderaan setahun.

Bagi 2017, Karlsson berkata pembuat kereta itu menyasar untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran sebanyak 50 peratus daripada 1,500 kenderaan ketika ini, dan 50 peratus lagi pada tahun akan datang.

60 peratus daripada pengeluaran keseluruhan adalah bagi penggunaan domestik manakala bakinya dieksport ke Thailand.

"Selama ini ia adalah sebaliknya, disebabkan Thailand mengalami kesukaran (ketidaktentuan ekonomi dan cuaca buruk) pada tahun lepas, kami telah mengurangkan pengeluaran," katanya.

Berdasarkan kilang yang diubahsuai itu, yang dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan tahun, beliau mengunjurkan nisbah penggunaan domestik kepada eksport berubah iaitu 25:75.

Volvo mula bertapak di Malaysia pada 1967 dengan kilang di Shah Alam sebagai kemudahan pengeluaran pertamanya di luar Sweden.

Karlsson berkata, Malaysia akan terus menjadi pasaran penting bagi Volvo serta hab pengeluaran dan pembelian di Asia Tenggara.

Beliau berkata, dengan menjadi hab pembelian, Volvo turut melihat kemungkinan pembekal Malaysia menembusi pasaran di China.

"Ini sudah tentu menjadi peluang besar kepada pembekal Malaysia," katanya.-- Bernama

Volvo, Febrik Karlsson

Artikel Sebelum

Artikel Lain