suria

AirAsia X Bawa 4.69 Juta Penumpang Pada 2016

KUALA LUMPUR: AirAsia X Bhd (AAX) membawa 4.69 juta penumpang dalam tahun kewangan yang berakhir 31 Disember, 2016, meningkat 30 peratus daripada 3.61 juta pada tahun kewangan 2015.

Dalam perangkaan awal operasinya yang dikeluarkan hari ini, syarikat penerbangan tambang rendah jarak jauh itu berkata kapasiti meningkat 22 peratus kepada 5.94 juta berbanding 4.85 juta sebelumnya.

Bagi asas suku tahunan, ia berkata keseluruhan prestasi operasi suku keempat 2016 meningkat tahun ke tahun, hasil daripada kejayaan inisiatif pemulihan yang dilaksanakan pada tahun itu.

"Pada suku keempat 2016, syarikat itu mencatatkan kenaikan dua digit tinggi dalam jumlah penumpang yang dibawanya meningkat 40 peratus tahun ke tahun kepada 1.38 juta, sejajar dengan kapasiti pertumbuhan 43 peratus tahun ke tahun.

"Kapasiti besar yang disuntik semasa suku tersebut adalah bagi menampung peningkatan permintaan untuk perjalanan semasa musim cuti akhir tahun," kata AirAsia X. 

Sementara itu, faktor muatan penumpang syarikat penerbangan itu turun dua mata peratusan kepada 81 peratus berbanding 83 peratus bagi tempoh yang sama tahun lepas, manakala kapasiti kerusi tersedia bagi setiap kilometer meningkat 44 peratus tahun ke tahun kepada 8,474 juta pada suku keempat 2016. 

Malaysia AirAsia X (MAAX) menambah Mauritius ke dalam rangkaiannya semasa suku tersebut. 

Tiada pesawat baharu ditambah ke dalam MAAX pada suku keempat 2016, justeru, saiz kumpulan pesawat pada akhir Disember berjumlah 22 Airbus A330s.

Bagi syarikat sekutunya, Thai AirAsia X mencatatkan faktor muatan penumpang 78 peratus pada suku keempat 2016, manakala perkhidmatan pesawat A330s Indonesia AirAsia X masih digantung sementara sebagai sebahagian daripada penyusunan semula rangkaian.

Melangkah ke 2017, AirAsia X berkata ia kekal berhati-hati dalam menjangkakan persekitaran mencabar. Bagaimanapun, pengurusan masih yakin dapat memastikan pertumbuhan mampan. -- Bernama


AirAsia X

Artikel Sebelum

Azman Hashim Rancang Bersara

Artikel Berikut

Artikel Lain