suria

Weststar Sasar Empat Pangkalan Terima Sijil 5S

KOTA BHARU: Pengendali terbesar perkhidmatan pengangkutan helikopter luar pesisir di Malaysia, Weststar Aviation Services Sdn Bhd menyasarkan empat pangkalannya di Malaysia untuk menerima Pensijilan Amalan Persekitaran Berkualiti (QE) 5S pada tahun ini.

Ketua Pegawai Operasinya Wan Hasmar Azim Wan Hassan berkata setakat ini, hanya pangkalan di Pengkalan Chepa telah menerima sijil berkenaan daripada Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) sejak langkah ke arah mendapatkan pensijilan itu bermula pada April tahun lepas.

"Keutamaan kami adalah keselamatan dan keselesaan pelanggan dari pangkalan ke pelantar minyak masing-masing.

"Justeru, dengan pensijilan ini, akan memastikan prosedur operasi standard (SOP) yang digubal sebelum ini dapat diterapkan dengan cara yang betul, sekali gus meningkatkan lagi tahap keselamatan dan produktiviti syarikat," katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Penyerahan Pensijilan Amalan Persekitaran Berkualiti (QE) 5S di Hangar Weststar Aviation di sini, Selasa yang turut dihadiri Pengurus Besar Operasi Domestik Weststar Aviation Services Laksamana Madya (B) Datuk Jamil Osman dan Pengurus Pangkalan OS2 Weststar Aviation Services Mohd Fathi Bahador.

Terdahulu, Wan Hasmar Azim menerima sijil berkenaan bagi pangkalan syarikat itu di Pengkalan Chepa di sini daripada Timbalan Ketua Pengarah MPC Ab Rahim Yusoff.

Beliau berkata syarikat berkenaan akan menerapkan tatacara pelaksanaan Pensijilan Amalan Persekitaran Berkualiti (QE) 5S kepada tiga lagi pangkalannya di Kerteh, Terengganu, Kota Kinabalu, Sabah dan Miri, Sarawak secara berperingkat bermula bulan ini.

"Pelaksanaan secara berperingkat ini penting bagi memastikan pekerja dapat menyerapnya dengan lebih baik dan tidak menimbulkan kejutan dalam budaya kerja mereka.

"Weststar Aviation Services merupakan syarikat pengendali perkhidmatan pengangkutan luar pesisir pertama di negara ini yang menerima pensijilan berkenaan daripada MPC," katanya.-- Bernama

Weststar, Pengkalan Chepa

Artikel Lain