suria

Pos Malaysia Sasar Peningkatan Pendapatan RM30 Juta Menerusi FlexiPrepaid

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Berhad Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh (dua, kanan) melekatkan kod bar pada bungkusan sebagai gimik pelancaran Flexiprepaid Pos Malaysia Berhad di SACC Mall, Rabu.

SHAH ALAM: Pos Malaysia Berhad, (Pos Malaysia) menyasarkan pertambahan pendapatan sebanyak RM30 juta tahun ini menerusi perkhidmatan penghantaran barangan terbaharunya, FlexiPrepaid.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh, berkata perkhidmatan berkenaan menawarkan khidmat penghantaran barangan ke seluruh negara dengan ciri-ciri premium, termasuk sistem jejak dan kesan barang.

Selain itu, beliau berkata FlexiPrepaid turut menawarkan khidmat pungutan percuma bagi 100 barangan ke atas dengan kadar penjimatan sehingga 50 peratus berbanding syarikat perkhidmatan penghantaran barang yang lain.

"FlexiPrepaid ini menyasarkan orang persendirian, syarikat-syarikat e-dagang tempatan dan antarabangsa yang beroperasi di sini sebagai pelanggan, dan setakat ini sebanyak 20 syarikat e-dagang telah berdaftar dengan Pos Malaysia untuk perkhidmatan ini.

"FlexiPrepaid didatangkan dalam bentuk pelekat yang boleh dibeli di 696 pejabat pos di seluruh negara. Bagi syarikat yang mempunyai akaun prabayar dengan Pos Malaysia, mereka boleh mencetak sendiri pelekat berkenaan di premis masing-masing," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan perkhidmatan itu di sini, Rabu.

Mohd Shukrie berkata setiap bungkusan dihadkan seberat dua kilogram (kg) dan dijamin sampai ke tangan penerima dalam tempoh antara tiga dan tujuh hari, bergantung kepada lokasi.

FlexiPrepaid ditawarkan pada harga serendah RM3.80 bagi bungkusan seberat 500 gram ke bawah, RM5.95 (bungkusan berat 500 gram hingga 1kg) dan RM7.50 (bungkusan berat 1kg-2kg).

Mohd Shukrie yakin perkembangan pesat sektor e-dagang tempatan akan terus memberi impak positif terhadap pendapatan Pos Malaysia. -- Bernama

Pos Malaysia, FlexiPrepaid

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain