suria

M Xpress Sasar Tingkat Pasaran Penghantaran Global

Timbalan Mneteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian persefahaman antara Pengarah Urusan Kumpulan M Xpress Sdn Bhd, Peter Chan (tiga, kiri) ddan dua syarikat pemain industri penghantaran iaitu Ketua Pegawai Operasi BOXiT Holdings Sdn Bhd, Chiang Seliang (dua, kanan) dan Region Dorector SkyNet Worldwide Express (Asia Pasifik), Robert Rawcliffe (kanan) pada majlis perasmian dan menandatangani perjanjian persefahaman ketiga-tiga syarikat itu dekat Subang, Rabu.

SUBANG: M Xpress yang sebelum ini dikenali sebagai Sure-Reach Worldwide Express Sdn Bhd, menyasarkan untuk menguasai antara dua hingga tiga peratus bahagian pasaran penghantaran antarabangsa dalam masa dua tahun.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Peter Chan berkata syarikat itu sudah memulakan usaha memperkukuhkan rangkaian dan kesalinghubungan dalam negara dan global.

Ini termasuk menjadi rakan niaga rangkaian kurier antarabangsa milik bebas terbesar dunia, SkyNet Worldwide Express serta BOXiT Holdings Sdn Bhd.

"Usaha kolaboratif itu adalah sebahagian inisiatif kumpulan untuk mencapai aspirasi menjadi antara syarikat perkhidmatan penghantaran ekspres dalam negara serta rantau ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pemeteraian perjanjian usaha sama yang disaksikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari, di sini, Rabu.

Chan juga yakin susulan pelantikan M Xpress sebagai ahli eksklusif SkyNet Worldwide Express di Malaysia akan membolehkan jangkauan syarikat itu di lebih 1,000 bandar di 200 negara.

Sebagai ahli eksklusif, SkyNet akan membuat penghantaran dari serata dunia ke Malaysia dan usaha itu diteruskan oleh M Xpress di sekitar Malaysia dan sebaliknya.

"Kami sudah mencatat perkembangan sejak bertahun lalu dengan membawa masuk teknologi baharu dan relevan serta mempertingkat proses sejajar permintaan pengguna dan kehendak pasaran," katanya.

Sementara itu, dalam ucapannya, Jailani berkata sektor pengeposan dan penghantaran Malaysia dijangka mengendalikan kira-kira 1 bilion bungkusan setahun menjelang 2025.

Menurutnya, kelebihan Malaysia dari segi lokasi strategik, pertumbuhan ekonomi yang kukuh, jalinan perhubungan serantau yang baik dan infrastruktur pengangkutan serba cekap akan membolehkan negara ini menjadi pintu masuk  perkhidmatan logistik dan penghantaran serantau.

M Xpress memulakan operasi perkhidmatan penghantaran ekspres dan logistik pada 2003 dan menjangkau lebih 60 pusat perkhidmatan dan dibantu oleh lebih 600 pekerja serta 200 kenderaan.

SkyNet Worldwide Express yang berpejabat di Amsterdam, Belanda merupakan pengendali rangkaian perkhidmatan penghantaran terbesar dunia ketika ini.

BOXiT Holdings yang ditubukan pada 2011 pula memecah sempadan antara dunia maya dan fizikal dengan menyepadukan usaha pembungkusan dalam kehidupan seharian pengguna dan membolehkan mereka serta peniagaan menyerahkan bungkusan di kawasan atau kemudahan yang disediakan.-- Bernama



M Xpress

Artikel Lain