suria

RM59 Bilion Diguna Untuk Simpanan Shariah 2017 Sehingga 23 Disember

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan bahawa sehingga 23 Disember, 2016, sebanyak RM59.03 bilion daripada peruntukan permulaan RM100 bilion untuk Simpanan Shariah 2017 telah digunakan.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, KWSP berkata seramai 635,037 ahli telah bertukar kepada Simpanan Shariah, dengan majoriti, iaitu 99.41 peratus adalah ahli beragama Islam.

Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata bagi Simpanan Shariah 2018, lembaga pengarah telah memperuntukkan RM50 bilion sebagai suntikan dana kedua.

"Kami menjangkakan sekurang-kurangnya separuh daripada peruntukan permulaan RM100 bilion akan terguna dan statistik terkini sememangnya amat menggalakkan. Kami berada di landasan yang betul dalam mempertingkat pelaburan aset Shariah kami. 

"Lebih kurang 45 peratus aset pelaburan KWSP adalah patuh Shariah dan kami menjangkakan aset ini akan berkembang tidak kurang daripada purata RM25 bilion setahun," katanya.

Simpanan Shariah diperkenalkan pada Ogos 2016 sebagai pilihan untuk ahli yang ingin menukar simpanan KWSP konvensional mereka kepada akaun yang ditadbir dan dilaburkan mengikut prinsip Shariah. 

Ahli yang ingin menukar ke Simpanan Shariah 2018 boleh berbuat demikian sebelum 24 Disember 2017.-- Bernama


KWSP, Simpanan Shariah

Artikel Lain