Langkah-Langkah Baharu Dilaksanakan BNM Bantu Stabilkan Ringgit - Gabenor

Diterbitkan: Jumaat, 13 Januari 2017 6:02 PM

Menteri Kewangan II Datuk Johari Abdul Ghani (kiri) bersama Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Muhammad Ibrahim (kanan) melakukan gimik pelancaran ketika majlis Perasmian Karnival Kewangan di Pusat Dagangan Dunia Putra, Jumaat.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Beberapa langkah dilaksanakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada Disember tahun lepas ternyata membantu menstabilkan ringgit.

Malah, Gabenor BNM, Datuk Muhammad Ibrahim menegaskan, bank pusat itu bersedia memperkenalkan langkah baharu bagi memperkukuhkannya sekiranya keadaan perlu untuk berbuat demikian.

Menurutnya, biarpun impak penuh hasil pelaksanaan langkah-langkah itu pada 5 Disember lepas itu dijangka dapat dilihat pada pertengahan 2017, namun keputusan awal menunjukkan ia ternyata banyak membantu menstabilkan ringgit.

"Bagaimanapun, langkah-langkah baharu ini bukannya kawalan modal atau penetapan ringgit sebaliknya bertujuan menstabilkannya dan memastikan mudah tunai dalam pasaran," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Karnival Kewangan Malaysia 2017 di sini, Jumaat.

Jelas Muhammad, pasaran kewangan Malaysia adalah terbuka dan mana-mana pihak bebas untuk keluar atau memasuki pasaran itu.

"Kita sentiasa mengalu-alukan kehadiran pelabur jangka panjang ke dalam pasaran bon dan perlu memastikan mereka dilindungi dengan (langkah) menstabilkan ringgit supaya mereka juga boleh meraih untung," katanya.

Menurutnya, antara langkah baharu yang dilaksanakan adalah menetapkan pengeksport menyimpan sehingga 25 peratus daripada hasil perolehan eksport dalam mata wang asing dan baki 75 peratus dalam denominasi ringgit.

"Langkah lain termasuk membenarkan pemastautin, termasuk pengurus dana pemastautin untuk melindung nilai dedahan dolar AS dan renminbi China secara bebas dan aktif sehingga had RM6 juta bagi setiap pelanggan setiap bank," katanya.

Pemastautin dengan pinjaman ringgit, pula bebas untuk melabur dalam aset mata wang asing di dalam dan luar negara sehingga RM50 juta untuk korporat manakala individu sehingga RM1 juta, katanya.

"Kita tidak boleh menetapkan (ringgit) pada paras tertentu. Apabila kita dapat melakukan pelarasan permintaan dan penawarannya berdasarkan permintaan sebenar terhadapnya, barulah ringgit dapat stabil.

"Apa yang utama ialah ringgit perlu stabil kerana ia akan membolehkan perniagaan membuat keputusan yang tepat," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Muhammad berkata BNM dan Jawatankuasa Pasaran Kewangan mengambil langkah termasuk intervensi bagi mengawal gangguan spekulatif terhadap ringgit di pasaran luar persisir.

Beliau turut menyifatkan pandangan beberapa pemerhati dan penganalisis ekonomi yang meletakkan nilai ringgit pada tahap tertentu sebagai nilai keseimbangan, adalah tidak tepat dan tidak produktif.

Menurutnya, permintaan terhadap nilai ringgit di pasaran mata wang domestik juga kian baik.

Tegasnya, kejatuhan nilai ringgit ini bukanlah suatu situasi yang unik mahupun terpencil kerana ia adalah fenomena global. 

"Pengukuhan mata wang dolar US yang ketara telah menyebabkan semua mata wang serantau dan global turut mengalami tekanan kemerosotan.

"Ini disebabkan oleh beberapa faktor termasuk ketidaktentuan dasar monetari di Amerika Syarikat serta ketidaktentuan perkembangan arus ekonomi serta politik dunia dan serantau," katanya. 

Muhammad berkata, perkembangan global itu telah mengganggu sentimen pasaran kewangan antarabangsa dan mengakibatkan aliran keluar dana dari pasaran negara pesat membangun serta mengakibatkan kemorosotan nilai mata wang di kebanyakan negara.

"Nilai ringgit turut dipengaruhi oleh struktur ekonomi dan pasaran kewangan kita yang paling terbuka dalam kalangan negara pesat membangun.

"Pasaran kita terdedah kepada ketidaktentuan pasaran kewangan global yang menyebabkan pelaburan portfolio berbalik," katanya.-- Bernama 

Tags / Kata Kunci: ringgit , BNM

iklan

Video

Jumaat, 18 Ogos 2017 8:00 AM

#akuStar: Slash - Melodi Kasih

Khamis, 17 Ogos 2017 3:02 PM

Seksi? Urusan Saya Dengan Tuhan - Zizi Kirana

Khamis, 17 Ogos 2017 12:30 PM

Erma Reda, Jatuh Talak Satu

Khamis, 17 Ogos 2017 9:00 AM

Wak Doyok Kini Bintang Filem

Rabu, 16 Ogos 2017 3:59 PM

Bahaya Tu Abang Oii...

Rabu, 16 Ogos 2017 12:30 PM

“Senyum Je Pada Haters” - Farisha Irish

Selasa, 15 Ogos 2017 3:28 PM

Raysha Rizrose Pemalu, Bukan Sombong!

Selasa, 15 Ogos 2017 11:59 AM

Keluarga 'Control' Hidup Neera Azizi?

Kolumnis

iklan

Iklan