suria

'Oriental Pavilion' Lazada Malaysia Tampilkan Jenama Terkenal China

Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia, Hans-Peter Ressel (tiga dari kiri) menggaul "Yee Sang" pada majlis memperkenalkan Oriental Pavilion oleh Lazada Malaysia, Rabu.

KUALA LUMPUR: Lazada Malaysia, platform beli-belah dan jualan dalam talian, memperkenalkan 'Oriental Pavillion', sebuah laman khas dalam lazada.com.my, bagi pelanggan Malaysia membeli produk jenama terkenal dari China.

Ketua Pegawai Eksekutif, Hans-Peter Ressel, berkata laman itu merupakan hasil usaha Lazada untuk memperkenalkan jenama dari TMall.com, China, platform runcit dalam talian yang dikendalikan Alibaba Group.

Beliau berkata, pelanggan Malaysia kini boleh membeli-belah produk berasaskan pengguna berjenama dari China yang diidamkan seperti Semir, QCY, Blueradio dan Puppyoo sempena perayaan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.

"Setakat ini, 16 jenama telah berdaftar secara eksklusif dengan kita," katanya kepada pemberita selepas majlis memperkenalkan 'Oriental Pavillion' di sini, Rabu.

Beliau berkata pengenalan 'Oriental Pavillion' adalah tepat pada waktunya memandangkan pengguna kini mempunyai akses kepada produk berkualiti tinggi daripada jenama China pada harga yang berpatutan.

"Ini sekali gus membawa prospek yang memberangsangkan untuk Lazada Malaysia memandangkan kami akan terus menambah pengalaman pelanggan dan menawarkan beli-belah dalam talian terbaik seperti permulaan kami untuk 2017," katanya.

Ressel berkata, Malaysia merupakan antara pasaran yang pantas berkembang di rantau ini dan sumbangannya semakin meningkat setiap bulan.

"Pelanggan tidak perlu bimbang mengenai kualiti produk yang ditawarkan kerana Lazada kerap melakukan pemeriksaan dengan peniaganya untuk memastikan mereka membeli barangan tulen," katanya, dengan menambah, Lazada mempunyai 50,000 peniaga dalam pasaran Malaysia ketika ini.

Pelancaran 'Oriental Pavillion' adalah serentak dengan kempen Tahun Baharu Cina Lazada bertema 'Deal Louder Than Rooster' mulai 17 hingga 19 Jan, 2017 yang mana pelanggan boleh membeli produk pelbagai jenama dengan menikmati potongan sehingga 88 peratus.

Mengenai ketidaktentuan ringgit, Ressel berkata, ia tidak memberi kesan kepada tabiat perbelanjaan rakyat Malaysia.

"Mereka masih sedia berbelanja dalam keadaan ekonomi sekarang kerana mereka memerlukan produk berkenaan.

"Sebenarnya apabila mereka membeli-belah dengan Lazada, kami membantu mereka lebih berjimat kerana kami berusaha mencari harga terendah dan terbaik untuk ditawarkan tanpa mereka perlu pergi ke pusat beli-belah atau mengalami kesesakan lalu lintas dan berbaris panjang untuk pembayaran," katanya.-- Bernama


Lazada Malaysia, Alibaba Group

Artikel Lain