suria

Jumlah Eksport Malaysia Meningkat 7.8 Peratus Kepada RM72.83 Bilion

KUALA LUMPUR: Jumlah eksport Malaysia bagi November lepas meningkat sebanyak 7.8 peratus kepada RM72.83 bilion berbanding RM67.56 bilion untuk tempoh sama tahun lepas, sekali gus menjadikannya bulan eksport tertinggi untuk 11 bulan pertama 2016.

"Pencapaian itu dipacu permintaan memberangsangkan oleh pasaran utama, khususnya ASEAN, China, Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat, Hong Kong dan India," kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam laporan awal statistik perdagangan luar Malaysia yang diumumkan pada Jumaat.

Selain itu, import pada November 2016 berkembang sebanyak 11.2 peratus kepada RM63.80 bilion yang menjadikan jumlah dagangan meningkat 9.3 peratus kepada RM136.63 bilion.

"Lebihan dagangan pada Nov 2016 adalah sebanyak RM9.03 bilion, menjadikannya  bulan ke-229 berturut-turut menyaksikan lebihan berkenaan sejak November 1997," katanya.

Menurut laporan itu, bagi tempoh Januari-November 2016, eksport meningkat 0.2 peratus kepada RM710.38 bilion manakala import naik satu peratus kepada RM631.83 bilion dan lebihan dagangan mencatat RM78.55 bilion.

Jumlah dagangan bagi 11 bulan pertama 2016 naik sebanyak 0.5 peratus kepada  RM1.34 trilion berbanding RM1.33 trilion bagi tempoh sama tahun lepas," kata laporan itu.

Bagi November 2016, eksport barangan perusahaan meningkat 7.9 peratus bagi tahun ke tahun kepada RM58.32 bilion yang menyumbang 80.1 peratus daripada jumlah eksport Malaysia.

"Barangan elektrikal dan elektronik (E and E) menokok 13.2 peratus atau RM3.06 bilion iaitu pertumbuhan paling pesat yang dicatatkan setakat 2016," katanya.

Bagi bulan sama, eksport barangan pertanian naik 22.4 peratus kepada RM6.9 bilion yand diterajui eksport minyak sawit dan produk pertanian berasaskan sawit.

"Eksport minyak sawit berkembang sebanyak 25.6 peratus kepada RM4.07 bilion daripada RM3.24 bilion dicatatkan pada November 2015.

"Peningkatan eksport juga dicatat barangan seperti bahan kimia dan produk berkaitan, peralatan pengangkutan, makanan diproses, produk besi dan keluli serta peralatan optik dan saintifik," katanya.

Bagaimanapun, menurut laporan itu, eksport barangan perlombongan susut sebanyak 6.9 peratus kepada RM7.01 bilion disebabkan pengurangan eksport gas asli cecair (LNG) dan petroleum mentah.

"Eksport LNG dan petroleum mentah masing-masing merosot 21.3 peratus dan  6.1 peratus berikutan nilai unit purata yang rendah," katanya.

Bagi tempoh sama, kata laporan itu, eksport produk E and E naik tiga peratus kepada RM260.68 bilion iaitu 36.7 peratus daripada jumlah eksport manakala kimia dan bahan berkenaan menokok 5.8 peratus kepada RM53.38 bilion.

"Produk minyak sawit dan hasil pertanian berasaskan sawit juga meningkat  4.6 peratus kepada RM43.86 bilion manakala jentera, peralatan dan komponen naik 5.9 peratus kepada RM34.67 bilion," katanya.

Produk petroleum bagaimanapun susut 4.2 peratus kepada RM48.78 bilion bagi tempoh 11 bulan pertama 2016 berkenaan.

Bagi tempoh Januari-November 2016, import meningkat sebanyak satu peratus tahun ke tahun kepada RM631.83 bilion yang mana tiga kategori utama import bagi penggunaan akhir adalah produk pertengahan (RM360.57 bilion, susut 1.1 peratus); barangan modal (RM91.24 bilion, menokok 4.2 peratus) dan barangan penggunaan  (RM60.59 bilion, naik 7.9 peratus).

Pada November 2016, eksport ke ASEAN berkembang sebanyak 9.8 peratus tahun ke tahun kepada RM20.88 bilion iaitu meningkat berbanding penyusutan sebanyak 2.6 peratus dicatat pada bulan sebelumnya.

"Eksport ke ASEAN merupakan 28.7 peratus daripada keseluruhan eksport Malaysia.

"Sebahagian besar peningkatan eksport itu disumbangkan oleh barangan perusahaan yang berkembang secara ketara sebanyak 9.5 peratus kepada RM18.6 bilion," kata laporan berkenaan.

Bagi tempoh 11 bulan pertama 2016, eksport ke ASEAN meningkat 4.8 peratus kepada RM209.15 bilion.

Tempoh November 2016 turut menyaksikan kenaikan nilai eksport ke China sebanyak 12 peratus kepada RM10.93 bilion berbanding setahun lepas yang didorong terutamanya oleh peningkatan eksport barangan termasuk produk E and E, minyak sawit dan produk pertanian berasaskan sawit serta bahan kimia dan produk berkaitannya.

Bagi tempoh Januari hingga November 2016 menyaksikan penyusutan eksport sebanyak 5.2 peratus kepada RM88.33 bilion.

Bagi November 2016, eksport ke Amerika Syarikat naik 9.9 peratus kepada  RM6.67 bilion, sebahagian besarnya disumbangkan peningkatan eksport barangan seperti produk E and E, petroleum serta jentera.

"Untuk tempoh Januari sehingga November 2016, eksport berkembang 9.7 peratus kepada RM73.06 bilion," kata laporan itu. - BERNAMA

Artikel Lain