suria

DPMM Mahu Tembusi Pasaran Afrika

KUALA LUMPUR: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) merancang memasuki negara-negara Afrika tahun depan bagi membantu usahawan Bumiputera melebarkan pasaran mereka di peringkat global.

Presidennya, Datuk Syed Ali Alattas berkata, usahawan Bumiputera perlu mengambil peluang daripada perjanjian perdagangan bebas Sudan dengan Kesatuan Eropah untuk melabur di negara Afrika tersebut.

"Sudan kini mengeksport sayuran ke Eropah semasa musim sejuk kerana sesetengah sayuran tidak boleh ditanam pada musim itu di Eropah.

"Oleh itu kita boleh menembusi Sudan dan mengeksport barangan kita melalui FTA mereka dengan Eropah dan memasuki pasaran Eropah melalui Sudan," katanya pada sidang media di sini, Rabu.

Syed Ali berkata, duta beberapa negara Afrika sedang berbincang dengan DPMM dengn harapan untuk menarik lebih banyak pelaburan dari Malaysia di samping meningkatkan hubungan dagangan.

Beliau menggesa syarikat yang terlibat dalam sektor hospitaliti, teknologi maklumat dan komunikasi serta industri makanan dan pertanian untuk mengembangkan operasi ke seberang laut, termasuk negara-negara Afrika. 

"Bilik hotel amat mahal di sana (Afrika). Contohnya Ivory Coast negara yang sangat miskin, tetapi kos tinggal di hotel adalah tiga kali ganda daripada Malaysia.

"Puncanya adalah pelabur baharu bertumpu ke negara berkenaan, tetapi pelabur Malaysia tidak kelihatan," katanya dengan menambah, sebuku roti Gardenia di Ivory Coast dijual RM17 berbanding RM3 di negara ini. - BERNAMA

DPMM

Artikel Lain