suria

74 Peratus Pelanggan Celcom Didominasi Pengguna Prabayar

KUALA LUMPUR: Jumlah pelanggan Celcom Axiata Bhd dikuasai 74 peratus oleh pengguna prabayar dan peratusan ini dijangka meningkat, kata Ketua Pegawai Pemasarannya Zalman Aefendy Zainal Abidin.

Beliau berkata, setakat 30 Sept, 2016, Celcom mempunyai 8.28 juta pengguna prabayar daripada keseluruhan 11.15 juta pelanggannya.

"Kami menjangkakan jumlah pelanggan prabayar dan penguasaan pasaran kami akan berkembang," katanya selepas pelancaran pek permulaan SIM prabayar bagi Xpax di sini, Isnin.

Pada November lepas, Celcom melaporkan jumlah pelanggannya seramai 11.23 juta pada suku kedua manakala dalam suku ketiga berakhir 30 September 2015, asas pelanggannya seramai 12.51 juta.

Mengenai kit permulaan Xpax baharu, Zalman berkata ia berharga RM10, termasuk data asas percuma bagi pengguna Internet dan Facebook.

"Kad SIM baharu ini menawarkan 10GB Internet asas percuma dan 10 gigabait percuma untuk penggunaan Facebook.

"Selagi pelanggan prabayar mempunyai nombor telefon yang aktif, mereka akan terus menerima Internet asas 10GB percuma dan saiz data 10 gigabait untuk penggunaan Facebook.

Kempen terkininya itu yang dipanggil #nokelentong, bertujuan mengurangkan kerumitan dan menawarkan empat pelan Internet mampu bayar tanpa pengasingan kuota.

Pek baharu ini menawarkan pelan tambah nilai RM3 untuk 1GB (harian), RM10 bagi 2GB (mingguan) dan dua pelan bulanan -- RM30 untuk 5GB dan RM50 untuk 10GB.

"Celcom memahami isu yang dihadapi oleh pelanggan prabayarnya, oleh itu kit permulaan baharu yang disokong rangkaian 4G, akan terus memudahkan selain meningkatkan pengalaman Internet," katanya.-- Bernama


Celcom

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain