suria

SAE Sasar Servis 80 Pesawat Tahun Depan

KUALA LUMPUR: Sepang Aircraft Engineering (SAE) Sdn Bhd menyasar menyediakan khidmat servis bagi 80 pesawat tahun depan, berbanding 60 ketika ini, apabila tiga hangar baharu syarikat itu akan mula beroperasi pada masa itu, kata Ketua Komersial dan Pemasarannya To Chow Leah.

SAE, unit Airbus SAS dan merupakan sebahagian daripada Airbus Group, menyediakan perkhidmatan penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih bagi pesawat komersial, enjin dan komponen dan perkhidmatan sokongan bagi pesawat Airbus di Asia Tenggara.

To berkata, syarikat itu yang menguasai antara 20-30 peratus bahagian pasaran dalam segmen pesawat A320 dan ATR di Asia Tenggara, menunggu untuk memulakan operasi hangar baharunya, yang berupaya menampung dua pesawat A320s pada satu masa.

Ketika ini, hangar SAE terdiri daripada enam baris untuk menampung enam pesawat pada satu masa, katanya.

"Kami juga sedang mengembangkan kemudahan kami. Kami akan menambah dua lagi baris dan satu hangar cat. Hangat cat akan tertutup sepenuhnya dengan sistem pengudaraan yang baik," katanya kepada Bernama di luar acara Konvensyen Perniagaan Aeroangkasa Antarabangsa Kuala Lumpur 2016 yang berlangsung dari 7-9 Dis.

Beliau berkata SAE menyasar beroperasi pada kapasiti penuh -- enam pesawat serentak dan di antaranya, mereka akan melakukan pemeriksaan kecil bagi mengisi kekosongan.

SAE, yang disokong oleh syarikat induknya, bertapak kukuh di rantau ini kerana menyediakan khidmat servis bukan hanya kepada pelanggan tempatan, tetapi juga pesawat dari Singapura, Thailand, Indonesia, Vietnam dan Filipina.

Mengenai prospek masa depan, To berkata, industri itu dijangka bergerak seiring dengan trend industri perjalanan.

"Apa yang saya boleh lihat dari segi perjalanan ialah ia tidak berhenti, pertumbuhan tetap berjalan kerana anda lihat tempahan terhadap pesawat masih ada dan masih meningkat jadi penyenggaraan akan tetap berterusan," katanya.

Bagaimanapun, katanya, Airbus SAS akan memutuskan strategi yang terbaik pada masa hadapan. 

Artikel Berikut

Artikel Lain