suria

Malaysia Cari Alternatif Jika TPP Tidak Jadi Kenyataan - Mustapa

HANOI: Malaysia mencari alternatif kepada Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) jika perjanjian perdagangan mega itu tidak menjadi kenyataan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata antara pilihan yang dilihat termasuk penglibatan dengan negara yang tidak mempunyai perjanjian perdagangan dengan Malaysia melalui perjanjian perdagangan dua hala, atau meneruskan TPP tanpa penyertaan Amerika Syarikat (AS).

"Beberapa negara telah bercakap mengenai perkara ini secara terbuka (untuk meneruskan TPP). Pilihan lain ialah (perdagangan) dua hala. Mexico merupakan negara yang besar dan penting. Contohnya, Petroliam Nasional Bhd baru sahaja memperoleh dua blok cari gali minyak di Teluk Mexico.

"Sejumlah kecil syarikat Malaysia telah berada di Mexico dan Kanada. Ia sudah tentu merupakan pilihan yang kita cari memandangkan kita cenderung kepada perjanjian perdagangan bebas (FTA) dan kita mempunyai satu (FTA) dengan Turki yang berjalan dengan baik.

"Kita bersikap terbuka untuk mempunyai perjanjian dua hala dengan negara-negara berkenaan yang kita belum lagi ada FTA dengan mereka," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Meja Bulat Perniagaan Malaysia-Vietnam di sini, Khamis.

Turut hadir ialah Duta Malaysia di Vietnam, Mohd Zamruni Khalid; Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan Asean, Tan Sri Dr Munir Majid; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Group Holdings Bhd, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz; dan Pengerusi CIMB Group Datuk Seri Nazir Razak.

Negara Asia menghadapi risiko ketara jika presiden AS yang baharu dipilih, Donald Trump, mengenakan sekatan perdagangan dan menentang TPP, perjanjian perdagangan utama 12 negara yang membentuk kira-kira 40 peratus ekonomi dunia.

Mengenai Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau, Mustapa berkata, negara peserta komited untuk memuktamadkan perbincangan pada akhir 2017.

"Kita menjadualkan beberapa mesyuarat di peringkat pegawai-pegawai dan menteri. Kita telah melanjutkan tempoh masa beberapa kali namun berusaha untuk memastikan perbincangan tersebut diselesaikan menjelang waktu itu (akhir 2017) ," katanya.

Semasa mesyuarat perniagaan meja bulat tersebut, Mustapa turut merasmikan pejabat kementerian itu di sini, yang merupakan pejabat keempat di Asia Tenggara, selepas di Bangkok, Jakarta dan Singapura.

Beliau juga akan mengetuai kunjungan hormat delegasi Malaysia ke atas Presiden Vietnam, Tran Dai Quang dan bertemu Timbalan Menteri Pelaburan dan Perancangan, Dang Huy Dong, untuk membincangkan langkah mengukuhkan lagi hubungan ekonomi antara kedua-dua negara.-- Bernama

TPP, Mustapa

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain