suria

Tanjung Offshore Rancang Ceburi Industri Aeroangkasa

KUALA LUMPUR: Tanjung Offshore Bhd, penyedia perkhidmatan medan minyak luar pesisir dalam industri minyak dan gas, merancang mempelbagaikan portfolio perniagannya kepada sektor aeroangkasa, dalam strategi peluasan jangka panjangnya.

Pengerusinya, Datuk Dr Nik Norzrul Thani berkata disebabkan kedudukan ekonomi dunia yang suram serta harga minyak yang rendah, kumpulan itu tidak mahu semata-mata bergantung kepada perniagaan minyak dan gas.

"Kami tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada perniagaan minyak dan gas walaupun ia kekal sebagai fokus teras kami.

"Kami perlu mengkaji untuk mempelbagaikan perniagaan bagi memastikan syarikat boleh meneruskan kelangsungan hidup dalam tahun-tahun yang akan datang.

"Untuk itu, kami melihat aerospace sebagai pintu masuk ke dalam industri bernilai tinggi dengan potensi yang besar ini," katanya.

Nik Norzrul berkata demikian kepada pemberita selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) oleh unit Tanjung Offshore, T7 Aero Sdn Bhd dan Kilgour Metal Treatments Ltd dari United Kingdom, pada Konvensyen Perniagaan Aeroangkasa Antarabangsa di sini, Rabu.

Menerusi MoU itu, Tanjung Offshore dan Kilgour akan meneroka pembinaan, operasi dan pembukaan kilang rawatan logam di Malaysia, yang merupakan sebahagian daripada usaha untuk mempelbagaikan perniagaan dalam perkilangan bernilai tinggi.

Nik berkata cadangan membuka kilang rawatan logam itu masih dalam peringkat awal, namun Tanjong Offshore menjangkakan dapat meraih pulangan yang menguntungkan dalam tempoh satu atau dua tahun.

Beliau berkata Tanjong Offshore juga sedang berbincangan dengan UMW Holdings Bhd untuk menubuhkan kilang rawatan logam di UMW di Serendah.

"Semua logam yang sudah menjalani rawatan kemasan itu akan dieksport ke negara-negara di Asia Tenggara," katanya.

Kilgour, pengeluar komponen aeroangkasa kompleks yang pakar dalam rawatan logam menerusi pengalaman lebih 50 tahun dalam bidang itu di UK, sedang mengenal pasti peluang-peluang perniagaan dalam rawatan logam di Malaysia.

Nik berkata kumpulan itu yakin dapat memanfaatkan pengalaman mendalam dan keupayaan Kilgour dalam membangunkan bakat baharu yang memenuhi keperluan industri.

Beliau berkata kilang rawatan logam yang dicadangkan itu akan merawat  permukaan logam, pemprosesan kimia, aktiviti ujian bukan pemusnah dan aplikasi penyalut, khusus dalam industri aeroangkasa.

Turut hadir Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan.

Ahmad berkata kini terdapat lebih 200 syarikat aeroangkasa di Malaysia dengan nilai pelaburan sebanyak RM4.7 bilion dalam industri aeroangkasa pada 2015.

Industri ini telah menyediakan 20,000 peluang pekerjaan, kebanyakannya dalam industri kecil dan sederhana. - Bernama

Artikel Berikut

Artikel Lain