suria

Scania Yakin Prospek Jualan Kenderaan Bagi 2017

Pengarah Urusan Scania Southeast Asia, Marie Sjodin Enstrom (kanan) bersama Pengarah Siang Malam Travel and Express Sdn Bhd, Tan Kim Siang pada majlis penyerahan dua buah bas persiaran Marcopolo di pejabat Scania (Malaysia) Sdn Bhd, Bukit Jelutong Industrial Park, Rabu.

SHAH ALAM: Scania, syarikat pengeluar trak dan bas, positif mengenai prospek jualan kenderaan di Malaysia pada tahun depan, susulan permintaan meningkat bagi koc mewah.

Pengarah Urusan Asia Tenggara Scania, Marie Sjodin Enstrom, bagaimanapun, tidak menyatakan jumlah sasaran jualan bagi trak, bas dan koc syarikat itu.

"Kami berharap ekonomi (di Malaysia) akan meningkat pada awal 2017 dan kami menyasarkan jumlah yang baik (bagi jualan kenderaan) pada tahun depan.

"Ramai pelanggan menyedari mereka meraih manfaat daripada beroperasi dengan kami dan kami mahu memastikan pelanggan kami mendapat keuntungan," katanya kepada Bernama selepas menghadiri majlis penyerahan koc Scania Marcopolo kepada Siang Malam Travel and Express Sdn Bhd di Scania (Malaysia) Sdn Bhd di sini, Rabu. 

Enstrom berkata Scania kini mengalami pertumbuhan yang menggalakkan dari segi jualan koc di Malaysia dan menikmati bahagian pasaran yang selesa di bawah segmen itu.

Mengenai acara hari ini, beliau berkata Siang Malam Travel and Express menjadi syarikat pertama di Malaysia membeli koc premium Scania Marcopolo yang baharu, kemuncak kerjasama antara Scania dan pengeluar bas dari Brazil, Marcopolo.

Marcopolo ditubuhkan pada 1949 dan kini antara peneraju pembina bas dan koc di dunia.

"Koc premium ini mempunyai kualiti binaan dalaman dan luaran yang tinggi, selain prestasi yang lebih terjamin, selamat dan selesa kepada penumpang," katanya.

Sementara itu, Pengarah Siang Malam Travel and Express, Tan Kim Siang, berkata syarikat mempunyai empat koc Scania Marcopolo dengan 31 tempat duduk pada masa ini dan ia menerima maklum balas yang baik daripada penumpang dari aspek keselamatan dan penjimatan bahan api bas itu.

Koc premium Scania Marcopolo mempunyai stereng boleh laras dan 'hanging pedal', yang menyediakan ergonomik yang lebih baik dan keselesaan seperti kereta.

Casis koc dilengkapi Scania Assistance dan Scania Maintenance secara percuma selama dua tahun dan Scania Fleet Management percuma untuk 10 tahun. -- Bernama

Scania

Artikel Lain