suria

Coway Rancang Tingkatkan Hasil Kepada RM700 Juta Pada 2017

KUALA LUMPUR: Pengeluar kelengkapan rumah dari Korea Selatan, Coway (M) Sdn Bhd merancang meningkatkan pendapatan kepada RM700 juta tahun depan, disokong tiga produk baharu yang akan dilancar daripada segmen pembersih udara dan air.

Pengarah Urusan, Kyle Choi Ki Ryong berkata, syarikat itu mengakhiri 2016 dengan momentum positif dengan lebih RM500 juta setakat ini.

"Dengan itu, kami mengharapkan jualan lebih baik tahun depan dan juga menyasarkan jualan 290,000 unit pembersih air di seluluh negara berbanding 211,000 setakat ini," katanya pada taklimat media selepas mengumumkan keputusan kewangan syarikat untuk 2016 di sini, Rabu.

Keseluruhannya syarikat Korea itu akan memperkenalkan tiga produk pada 2017 dengan dua akan dilancarkan pada suku pertama.

Ditanya mengenai pasaran runcit tempatan, Choi berkata, penyusutan ringgit telah menjejaskan perniagaan, terutama produk Coway dikeluarkan di Korea.

"Kami akan bangunkan kilang di sini. Tetapi rancangan itu akan hanya menjadi kenyataan selepas dua tahun, kerana ia masih dalam pertimbangan. Kami telah mendapatkan pegawai daripada ibu pejabat kami bagi mengkaji operasi di Malaysia, selain faedah mendirikan kilang di negara ini," tambahnya.

Coway dengan penguasaan 32 peratus pasaran, telah meningkatkan asas pelanggan lebih 50 peratus berbanding tahun lepas. Ia berharap untuk memperoleh 600,000 pelanggan pada 2017 daripada 400,000 sekarang ini.

"Kami merancang mencatat asas pelanggan satu juta dalam tempoh kurang daripada dua tahun lagi, berikutan strategi menambah ejen jualan dan perkhidmatan serta kempen agresif," kata Choi.-- Bernama

Coway

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain