suria

Prasarana Tawar 40-50 Peratus Projek LRT3 Kepada Kontrator Bumiputera

KUALA LUMPUR: Prasarana Malaysia Bhd akan menawarkan kira-kira 45 hingga 50 peratus projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) di antara Bandar Utama di Petaling Jaya dan Johan Setia, Klang kepada kontraktor Bumiputera.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, Prasarana berkata, langkah itu dibuat melalui kerjasama Unit Peneraju Agenda Bumiputera, Bahagian Kontraktor dan Usahawan Kementerian Kerja Raya serta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Rail and Infrastructure Projects Sdn Bhd, Khairani Mohamed berkata, melalui program terbabit, syarikat Bumiputera akan mendapat manfaat daripada peluang ini untuk bekerja dengan syarikat multinasional terkemuka industri berkenaan.

Prasarana berkata, kerjasama itu akan menawarkan peluang kepada kontraktor Bumiputera Gred 2 hingga Gred 4 di bawah CIDB untuk berkembang dan membangunkan kapasiti serta keupayaan melalui pembabitan dalam projek infrastruktur berskala besar.

Pengredan G2-G4 merujuk kepada perusahaan kecil dan sederhana yang dibenar mengemukakan tender untuk projek bernilai RM200,000-RM500,000 (G2), RM500,000-RM1 juta (G3) dan RM1 juta-RM3 juta (G4), katanya.

Menurutnya, taklimat tender diadakan di Putrajaya semalam yang menyaksikan penyertaan 135 syarikat.

"Dua minggu selepas tarikh taklimat tender, syarikat terlibat perlu mengemukakan dokumen sokongan untuk melayakkan diri.

"Pakej kerja akan diberikan melalui undian oleh Prasarana dan disaksikan rakan kongsi penyerahan projek LRT3, iaitu MRCB George Kent Sdn Bhd," katanya.

Prasarana berkata, pakej kerja utama di bawah LRT3 perlu dibahagikan kepada 135 pakej kerja lebih kecil bernilai RM60 juta.

"Pakej kerja berkenaan tidak terhad kepada bidang seperti kerja permukaan, kerja mekanikal dan kejuruteraan, kerja konkrit, kerja seni bina luaran dan kerja memasang kelengkapan dalaman," katanya. - BERNAMA

Prasarana, LRT

Artikel Sebelum

Artikel Lain