suria

Untung Sebelum Cukai Suku Ketiga Maybank Naik Kepada RM2.46 Bilioin

KUALA LUMPUR: Maybank mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) lebih tinggi pada suku ketiga yang berakhir 30 Sept, 2016, kepada RM2.46 bilion, berbanding RM2.38 bilion yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lepas.

Perolehan berjumlah RM11.29 bilion berbanding RM11.38 bilion yang dicatatkan pada suku ketiga tahun kewangan 2015.

Menurut bank berkenaan, keputusan kewangan itu disokong oleh peningkatan trend pendapatan bagi perbandingan suku tahun serta penurunan dalam kerugian kemerosotan nilai bersih setelah kumpulan mendapat manfaat daripada pendekatan proaktif dalam menguruskan kualiti aset.

Bagi tempoh sembilan bulan sehingga September 2016, PBT kumpulan berjumlah  RM5.97 bilion, susut 11.9 peratus daripada the RM6.78 bilion pada September 2015, manakala perolehan naik kepada RM33.41 bilion daripada RM29.5 sebelumnya.

Kumpulan terus mencatatkan pertumbuhan perolehan yang kukuh dalam semua sektor perniagaan bagi sembilan bulan dengan Perkhidmatan Kewangan Komuniti mencatatkan kenaikan 9.2 peratus, Perbankan Global 13.9 peratus serta Insurans dan Takaful 11.3 peratus.

Maybank juga menyaksikan trend menggalakkan dalam pertumbuhan pinjaman kasar, yang meningkat 2.2 peratus pada suku ketiga 2016 berbanding suku kedua 2016, manakala pertumbuhan pinjaman tahunan bagi sembilan bulan hingga September 2016 pada 0.5 peratus.

Angka berkenaan berdasarkan kenaikan 1.6 peratus dalam perbandingan suku tahunan dalam operasi Malaysia manakala peningkatan 3.2 peratus dalam operasi antarabangsa.

"Dalam keadaan ekonomi yang lembap, kumpulan terus mencari penyelesaian bagi pelanggan seluruh ASEAN yang mencatatkan pertumbuhan perolehan positif serta pengurangan peruntukan kerugian pinjaman.

"Kami juga kekal berada pada kedudukan yang baik dalam pembiayaan keperluan  infrastruktur di pelbagai negara ASEAN, memacu pertumbuhan sektor PKS (perusahaan kecil dan sederhana) dengan kadar faedah yang lebih rendah," kata Pengerusi Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Datuk Abdul Farid Alias berkata kumpulan mendapat faedah daripada portfolio yang pelbagai serta kedudukannnya di beberapa negara.

"Francais kami kekal baik di seluruh rantau dan perolehan terus berkembang dalam semua sektor perniagaan kami.

"Kami berhasrat untuk mengekalkan momentum ini dan pada masa yang sama  meneruskan disiplin dalam menguruskan kos, mengurangkan risiko dan meningkatkan kecekapan, untuk menempatkan kami pada kedudukan yang lebih baik bagi pertumbuhan mampan pada masa hadapan," kata Abdul Farid.

Operasi Indo-China Maybank yang terdiri daripada Kemboja, Vietnam, Laos dan Myanmar, menyaksikan PBT bagi sembilan bulan meningkat sebanyak 6.2 peratus kapada RM57.4 juta berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

PT Bank Maybank Indonesia Tbk terus mencatatkan prestasi cemerlang dengan PBT melonjak 123.7 peratus mencecah Rp1.8 trilion pada September 2016 berbanding Rp784 bilion pada September 2015.

Maybank Philippines pula menyaksikan prestasi bercampur-campur setelah perolehan naik 11.2 peratus pada semblan bulan pertama 2016 kepada Peso 3.97 bilion.

Bagaimanapun, PBT turun kepada kerugian sebanyak Peso 87.9 juta daripada keuntungan sebanyak Peso 629.7 juta berikutan peruntukan yang lebih tinggi.

Maybank Singapore terus terjejas dengan persekitaran ekonomi yang lembap dan keuntungan bersih turun pada S$175.99 juta berbanding S$298.51 juta pada tahun sebelumnya. - BERNAMA

Maybank

Artikel Berikut

Artikel Lain