suria

Zahid: Perbankan Islam Kini Menyumbang 27 Peratus Jumlah Sistem Perbankan

KUALA LUMPUR: Aset perbankan Islam kini menyumbang 27 peratus kepada jumlah sistem perbankan di Malaysia, manakala penembusan Takaful sebanyak 14.8 peratus daripada jumlah penduduk, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata kewangan Islam juga menyediakan pembiayaan kepada semua segmen masyarakat tanpa mengira kepercayaan, bangsa dan jantina.

"Daripada tidak sampai empat bank Islam dan pengendali takaful sebelum 2000, kini terdapat 27 penggiat yang menawarkan lebih 100 produk kewangan melepasi  kewangan asas," katanya pada perasmian Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur ke-13 di sini, Isnin.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh bekas timbalan gabenor dan Pengarah Bank Negara Malaysia Datuk Zamani Abdul Ghani.

Ahmad Zahid berkata sejak lebih tiga dekad, kewangan Islam telah berkembang dan meningkat maju serta menyumbang dengan ketara kepada pembangunan ekonomi sebenar.

Beliau berkata saiz Pasaran Modal Islam Malaysia (ICM) telah mencapai RM1.7 trilion, atau 60 peratus daripada jumlah nilai pasaran modal pada akhir  2015, menjadikan Malaysia peneraju dunia dalam produk ICM.

Bagaimanapun, beliau berkata kewangan Islam tidak boleh leka, dan perlu berusaha untuk menjadi sistem kewangan terbaik bagi menarik orang ramai, Islam dan bukan Islam.

"Kewangan Islam mesti teguh dan berdaya tahan, dan perlu terus menjajarkan kedudukannya jika ia mahu terus dihormati dan diktiraf oleh dunia," katanya.

Ahmad Zahid berkata di peringkat global, industri kewangan Islam masih terlalu kecil berbanding saiz potensi pasaran yang meliputi lebih satu bilion umat Islam di seluruh dunia.

Beliau berkata satu daripada halangan kepada pertumbuhan kewangan Islam ialah kurangnya kesedaran dalam kalangan orang ramai mengenai kaedah alternatif perbankan, insurans dan pelaburan Islam.

Industri ini mesti terus melibatkan diri dalam mendidik orang awam untuk menangani isu ini," katanya.

Beliau berkata penyelidikan dan kajian lanjut juga perlu dijalankan ke atas kewangan Islam di semua peringkat yang melibatkan pengawal selia, pengamal dan ahli akademik.

Selain itu, beliau berkata pelaburan dalam modal insan negara perlu terus ditambah baik memandangkan kurangnya pengetahuan dalam kewangan Islam berkait rapat dengan kekurangan pakar-pakar berkelayakan.

"Ini telah memberi kesan ke atas inovasi produk dan perkhidmatan baharu dalam negara. Juga ada keperluan mendesak untuk mewujudkan kesedaran mengenai kewangan Islam dalam kalangan peserta pasaran menerusi penyelidikan, pendidikan dan latihan," katanya.

Ahmad Zahid berkata rangka kerja undang-undang dan peraturan juga perlu berdaya tahan dan memudah cara.

Beliau berkata mekanisme penyelesaian pertikaian perlu lebih akomodatif kepada aplikasi kaedah dan peraturan undang-undang Islam, bagi mengelakkan rasa malu dalam kes-kes perbankan Islam akibat penghakiman undang-undang tidak berkesinambungan dan janggal.

Isu lain berkaitan peraturan dan pengawasan juga wajar ditangani dengan saksama supaya bank-bank dan institusi kewangan Islam setanding dengan piawaian antarabangsa.

"Bagi memenuhi cabaran ini, prosedur penyeliaan dan peraturan baharu mesti dibangunkan dan struktur dan prosedur sedia ada diubah suai.

Artikel Lain