Mata Wang Asing Cukup Untuk Tangani Permintaan - MAMSB

Diterbitkan: Isnin, 14 November 2016 6:01 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Persatuan Perniagaan Perkhidmatan Wang Malaysia (MAMSB) memberi jaminan bahawa terdapat bekalan mata wang asing yang mencukupi di pasaran bagi memenuhi permintaan semasa.

Persatuan itu memberi jaminan bahawa ia memantau pasaran pertukaran mata wang asing di pasaran domestik dengan rapat, dan berkata pengurup wang berlesen dan pemborong mata wang Malaysia akan mengambil langkah-langkah yang perlu bagi menangani keperluan pengguna.

"Kadar tukaran yang ditetapkan bagi mata wang asing fizikal, yang dijual oleh pengurup wang berlesen, sentiasa mencerminkan permintaan dan keadaan bekalan pasaran runcit," katanya dalam satu kenyataan. 

MAMSB berkata, kadar tersebut ditentukan oleh kuasa pasaran yang bergantung kepada pelbagai faktor termasuk kos penyumberan untuk mata wang, kos operasi dan permintaan terhadap mata wang.

Sesiapa yang menghadapi kesukaran dalam pertukaran mata wang asing boleh menghubungi persatuan pada talian 03-7722 5808 atau e-mel 'admin@mamsb.org.my'.-- Bernama

Tags / Kata Kunci: MAMSB , mata wang

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan