Tiga Rakan Strategik Asing Senarai Pendek Akhir Memenuhi Visi Proton

Diterbitkan: Jumaat, 11 November 2016 6:10 PM

Minyak enjin Petronas Syntium SE baharu dan eksklusif untuk Proton diperkenalkan pada satu majlis pelancaran di Pusat Kecemerlangan Proton, Shah Alam, Jumaat.

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Ketiga-tiga rakan strategik asing senarai pendek terakhir berpotensi untuk Proton mempunyai kriteria yang boleh memacu pembuat kereta nasional ke tahap lebih tinggi, kata Ketua Pegawai Eksekutif Proton Holdings Bhd, Datuk Ahmad Fuaad Kenali.

Beliau berkata ketiga-tiga pengeluar peralatan asli (OEM) itu kekal sebagai calon utama kepada Proton, memandangkan syarikat yakin mereka mampu menyediakan pengetahuan serta teknologi yang baik serta berkongsi amalan terbaik dengan Proton.

"Mereka juga mahu memanfaatkan Proton sebagai batu loncatan untuk menembusi Asean dan kita ingin mereka bekerjasama dengan kita untuk mengembangkan penguasaan pasaran di rantau ini, dan seterusnya pasaran dunia.

"Diharapkan pada masa depan, kita boleh memanfaatkan aset dan harta intelek mereka dalam usaha mempertingkatkan syarikat ke tahap lebih tinggi," katanya kepada pemberita selepas pelancaran produk jenama bersama Proton-Petronas di sini, Jumaat.

Proton ketika ini melaksanakan langkah permintaan untuk cadangan (RFP) bagi mencari rakan kongsi yang boleh menyediakan keupayaan strategik, operasi dan budaya secara tetap dengan hasrat untuk mengembangkan perniagaan automotifnya.

"Daripada 15 pihak yang menyerahkan cadangan konsep berdasarkan RFP itu, ia kemudian disenarai pendek menjadi lapan, selepas itu lima dan kini tiga, semuanya berasaskan penilaian Proton terhadap kemampuan, sumber dan keupayaan mereka untuk bekerja bersama-sama," katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Fuaad enggan mengesahkan sama ada Geely Automobile Holdings China, pemilik syarikat pembuat kereta Sweden Volvo Cars Corp, adalah antara tiga pihak itu, serta negara ketiga-tiga pihak berkenaan.

Mengenai sama ada OEM berkenaan berminat untuk memiliki keseluruhan pegangan Proton, Ahmad Fuaad berkata masih terlalu awal untuk membincangkan perkara berkenaan.

"Urusan ini adalah berkaitan keseluruhan kumpulan Proton, termasuk Lotus Group, unit milik penuh kami. Bagaimanapun, bergantung bagaimana mereka mencadangkan kepada kami, ia mungkin kedua-duanya, atau satu (entiti), atau sebuah gabungan," katanya.

Mengenai Lotus, Ahmad Fuaad berkata pembuat kereta sport serta lumba itu merupakan aset yang sangat baik dengan nilai jenama sendiri dan beberapa kemenangan Formula One.

"Lotus kini sedang kembali pulih. Jualannya semakin meningkat. Ia baru sahaja memperoleh akses ke pasaran Amerika Syarikat (AS) melalui model Evora 400.

"Pasaran AS adalah luas. Jualan Lotus di pasaran AS boleh mencecah lebih daripada 2,000 setahun, mencukupi untuk syarikat mencatat pulangan modal dan kemudian meraih keuntungan pada masa depan," katanya.

Ahmad Fuaad berkata Proton dijangka akan menerima cadangan lengkap pada Februari 2017 daripada pihak yang berminat dan akan membuat pengumuman selepas rakan kongsi strategik dipilih.

"Mungkin terdapat rundingan selanjutnya selepas itu, namun kita berharap penandatanganan berkenaan dapat dilaksanakan pada Mei 2017," katanya.-- Bernama


Tags / Kata Kunci: Ahmad Fuaad Kenali , OEM , Asean

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan