suria

Cawangan Baharu Ambank Di KK Utamakan Khidmat Mesra Pelanggan

Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan (tengah) bersama Pengerusi Kumpulan Ambank, Tan Sri Azman Hashim (tiga dari kanan) dan CEO Kumpulan Ambank, Datuk Sulaiman Mohd Tahir (empat dari kiri) bersama pegawai kanan Kumpulan Ambank pada majlis perasmian cawangan baharu Ambank di Plaza Shell Kota Kinabalu, Jumaat.

KOTA KINABALU: Ambank Group Berhad meneruskan komitmennya kepada penduduk Sabah dengan membuka cawangan baharu di Plaza Shell, di sini, Jumaat.

Cawangan terbaharu di lokasi yang strategik itu, menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan seperti Ambank Signature, Priority Banking, e-Banking Centre, SME Banking, kad kredit, perkhidmatan perbankan mudah alih, kiriman wang, deposit serta pengurusan kewangan.

Bercakap pada majlis pelancaran Ambank Plaza Shell, Pengerusinya Tan Sri Azman Hashim berkata cawangan itu yang direka bentuk supaya lebih mesra pelanggan, dilengkapi teknologi terkini bagi memastikan masa pekhidmatan lebih cepat dan memuaskan pelanggan.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Taufiq Abu Bakar Titingan yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Azman berkata komitmen kumpulan untuk negeri Sabah bermula sejak cawangan pertama di buka di Kota Kinabalu pada 1985, dan berkembang kepada 12 cawangan manakala AmMetLife Insurance dan AmGeneral Insurance masing-masing mempunyai dua cawangan.

Beliau berkata Ambank Group telah melaksanakan banyak program pengumpulan dana untuk kerajaan negeri Sabah dan agensinya berjumlah RM4.2 bilion, yang seterusnya menyumbang kepada masyarakat Sabah dan sektor harta tanah kediaman. 

"Dari segi aktiviti khidmat nasihat korporat kami, jumlah dana yang didepositkan oleh pelanggan di Sabah sebanyak RM4.06 bilion manakala jumlah pinjaman sebanyak RM4.98 bilion," katanya.

Sementara itu, pada sidang media, Ketua Pegawai Eksekutif AmBank Berhad Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata AmBank merancang membantu usahawan PKS dalam pengurusan kewangan selain mengutamakan kemudahan perkhidmatan digital.

Mengulas perkembangan PKS, Sulaiman berkata projek infrastruktur dalaman yang dirancang kerajaan, termasuk Lebuhraya Pan Borneo di Sabah, berupaya memangkinkan industri itu meski pun pertumbuhan perlahan berikutan kelembapan ekonomi dunia.

Ini menerusi peruncitan dan pembekalan bahan mentah bagi menjayakan projek infrastruktur terbabit, katanya.-- Bernama 

 

Artikel Lain