suria

Produk Agro Makanan Malaysia Berpotensi Di Pasaran Belanda

ROTTERDAM: Produk agro makanan Malaysia berpotensi besar di pasaran Belanda, kata Duta Besar Malaysia di negara itu, Datuk Ahmad Nazri Yusof.

Beliau berkata walaupun keluaran pertanian negara hampir sama dengan negara Asia lain, produk Malaysia mempunyai keunikan tersendiri dari segi rasa dan kualiti, hasil daripada kepelbagaian etnik dan budaya.

"Mereka (warga Belanda) suka produk makanan kita. Pada 2015, nilai eksport produk agro makanan Malaysia ke Belanda berjumlah RM1.66 bilion, meningkat berbanding RM1.38 bilion pada tahun sebelumnya," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau ditemui semasa program promosi produk pertanian Malaysia, 'Minggu Malaysia' anjuran Pejabat Perwakilan Pertanian The Hague, di pasar raya Wah Nam Hong di Markthal Rotterdam, pada Sabtu.

"Saya berkeyakinan kita boleh melakukannya dengan lebih baik lagi dengan meningkatkan kualiti dan bekalan produk yang konsisten," katanya.

Eksport utama agro makanan Malaysia ke Belanda terdiri daripada produk proses, koko, kopi, teh, rempah serta produk perikanan, dan mengimport RM8.38 bilion produk agro makanan terutama produk proses, sayur-sayuran dan produk tenusu dari Belanda.

Beliau berkata bagi meningkatkan eksport produk agro makanan negara, bekalan yang konsisten amat penting untuk mengekalkan reputasi dalam sektor yang amat kompetitif selain menjalankan penyelidikan dan pembangunan bagi menghasilkan produk berkualiti tinggi.

Pengeksport Malaysia juga boleh mengambil kesempatan dengan memperkenalkan buah-buahan eksotik yang belum ada di pasaran negara ini atau yang telah ada namun varietinya terhad seperti pisang yang menjadi antara kegemaran warga Belanda katanya.

Program bertemakan 'Taste of Malaysia' itu turut menampilkan penyediaan hidangan menggunakan bahan dari Malaysia oleh chef terkenal Malaysia yang berpangkalan di London, Chef Norman Musa, yang menyediakan salsa mangga dan nanas serta manisan, Creme brulee durian.

Pengunjung pasar raya Asia itu berpeluang membeli serta merasa makanan dan buahan-buahan eksotik Malaysia, dengan nangka dan durian menjadi tumpuan utama.

Pengeksport buah-buahan tropika ke Eropah, DRS Trading Sdn Bhd, yang menyertai promosi berkenaan membawa satu tan buah-buahan Malaysia untuk dipromosikan.

Minggu Malaysia ini turut melibatkan kerjasama Tourism Malaysia dan Perbadanan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di The Hague.

Antara buah-buahan Malaysia yang dipromosikan ialah durian sejuk beku, nangka, manggis, rambutan, buah naga, ciku, dokong, jambu air, salak serta produk industri asas tani seperti rempah, pes dan kerepek keluaran Agromas.

Program promosi produk pertanian Malaysia kali ini yang berakhir pada Ahad, merupakan siri terakhir program promosi bagi 2016 anjuran PPP The Hague, selepas ke Sweden, Finland dan Romania.-- Bernama


Artikel Lain