suria

MAB Kargo Akan Tawar Khidmat Ke Guangzhou Mulai 8 November

KUALA LUMPUR: MAB Kargo akan melancarkan perkhidmatan penerbangan kargo dari Kuala Lumpur ke Guangzhou, China, mulai 8 November 2016.

Perkhidmatan dua kali seminggu itu, yang menawarkan 60 tan kapasiti kargo bagi setiap penerbangan, merupakan sebahagian usaha syarikat untuk memanfaatkan peningkatan pergerakan kargo antara Lapangan Terbang Antarabangsa Baiyun, Guangzhou dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, menurut MAB Kargo.

"Guangzhou diiktiraf sebagai lapangan terbang ketiga paling sibuk di China dari segi trafik kargo, di samping sebagai hab Asia-Pasifik penting untuk syarikat penerbangan kargo utama.

"Dengan penambahan laluan ini, ia akan mempercepatkan usaha MAB Kargo untuk memperluaskan rangkaiannya di seluruh China dan memanfaatkan pertumbuhan pengangkutan udara di pasaran pesat membangun," menurut syarikat berkenaan.

Ketika ini, MAB Kargo menghubungkan pelanggan dengan lebih 20 destinasi termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong; Lapangan Terbang Antarabangsa Pudong, Shanghai; Lapangan Terbang Antarabangsa XinZheng, ZhengZhou; dan Lapangan Terbang Antarabangsa Jiangbei, Chongqing.-- Bernama

MAB, Guangzhou

Artikel Lain