suria

China Labur RM2.4 Bilion Dalam Sektor Perkilangan Malaysia

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor bersalaman dengan tetamu yang hadir sebaik sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing pada 31 Oktober 2016 bagi memulakan lawatan rasmi selama enam hari ke China. - BERNAMA

BEIJING: China merupakan pelabur kedua terbesar Malaysia  dalam sektor pembuatan, dengan pelaburan sebanyak RM2.4 bilion dalam 20 projek perkilangan yang diluluskan dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata jumlah dagangan Malaysia dengan China meningkat dua peratus dari Januari hingga Jun tahun ini berbanding tempoh yang sama pada 2015.

"Walaupun ekonomi dunia berhadapan tempoh yang sukar, kerjasama Malaysia dan China semakin kukuh," kata Najib, yang kini dalam rangka lawatan rasmi enam hari ke China mulai Isnin, pada majlis makan tengah hari Forum Perniagaan Malaysia-China bertema 'Memperkukuh Kerjasama, Membangun Peluang', yang dihadiri lebih 400 ahli perniagaan China dan Malaysia di sini pada Selasa.

"Kita dapat lihat bahawa China terlibat dalam menyokong beberapa projek perdana yang akan memainkan peranan besar dalam transformasi Malaysia kepada status negara berpendapatan tinggi dan melepasinya," katanya.

Antara projek terbabit ialah bandar raya bawah tanah bersepadu yang dikenali sebagai 'Bandar Malaysia' yang dibangunkan bersama oleh China Railway Group Limited (CREC) bersama Iskandar Waterfront Holdings, dan pembinaan Melaka Gateway, projek pembangunan mega oleh Powerchina International Group dengan KAJ Development.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata syarikat lain yang terlibat dalam  sektor perkhidmatan Malaysia termasuk Country Garden dan Greenland Group dalam  hartanah, Xiamen University dalam pendidikan, manakala dalam komunikasi, ZTE Corp serta Huawei Centre of Excellence.

Malaysia juga berbangga menjadi lokasi pilihan beberapa syarikat besar China seperti China Machinery Import and Export Corporation, Alliance Steel, Sinohydro Corporation Ltd, Comtech Solar International dan Longi, yang banyak menyumbang kepada Malaysia, sama seperti sumbangan syarikat Malaysia kepada China, katanya.

"Dan, menerusi hubungan udara yang lebih luas hari ini, dengan Malaysia Airlines dan AirAsia kini menyediakan perkhidmatan ke lebih banyak bandar di China, selain perkhidmatan penerbangan sewa khas dari Guangdong ke Melaka mulai bulan lepas, akan menggalakkan hubungan baharu," katanya.

Najib berkata Malaysia juga menawarkan penyambungan yang tiada saingannya selain berada pada kedudukan sebagai rakan perniagaan strategik di ASEAN, yang secara kolektifnya merupakan ekonomi ketujuh terbesar dan diunjur meningkat ke tahap keempat terbesar di dunia pada 2050.

"Kita mempunyai asas yang kukuh dalam sektor pembuatan dan tenaga kerja daripada pelbagai etnik dan bahasa yang boleh berkomunikasi secara berkesan dengan kebanyakan pasaran dekat dan jauh," katanya.

Najib berkata walaupun berhadapan keadaan yang sukar ketika ini selain penurunan harga minyak, Malaysia masih diunjur tumbuh 4 hingga 4.5 peratus tahun ini, dan dijangka berkembang sehingga 5 peratus tahun depan.

"Sesungguhnya benar kata-kata Kaushik Basu, Ketua Ekonomi dan Naib Presiden Kanan Bank Dunia, baru-baru ini bahawa walaupun banyak negara menderita disebabkan kejatuhan harga komoditi, Malaysia menonjol kerana telah mengubah dirinya daripada sebuah negara miskin pengeksport komoditi kepada ekonomi pelbagai dan moden."

Najib berkata Malaysia mengekang defisit, inflasi dan pengangguran pada tahap rendah, dan pada masa yang sama melaksanakan dasar pro-Perniagaan dan pro-Rakyat.

Malaysia melabur dalam modal insan, teknologi dan infrastruktur, memberi  tumpuan kepada meningkatkan daya saing, dan berusaha melaksanakan rancangan ekonomi yang jelas yang sudah pun mewujudkan 1.8 juta pekerjaan baharu dan peningkatan dalam Keluaran Negara Kasar hampir 50 peratus sejak 2010.

Beliau berkata pelan pembangunan jangka panjang ini bukan sahaja untuk manfaat rakyat Malaysia, malah bertujuan untuk meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan kepada pelabur, dan terus menyediakan sokongan yang diperlukan untuk mewujudkan persekitaran yang membolehkan perniagaan berkembang maju dan ekonomi dinamik dan berdaya saing. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain